HomeBeritaAnthony Loke buat kerja 'diam-diam', tinjau situasi perkhidmatan LRT

Anthony Loke buat kerja ‘diam-diam’, tinjau situasi perkhidmatan LRT

CYBERJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook secara ‘diam-diam’ membuat tinjauan bagi menilai situasi sebenar perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau menyatakan tinjauan itu sendirian dilaksanakan sekitar waktu puncak tanpa pengetahuan pihak Prasarana mahupun media.

Malahan, berdasarkan gambar yang turut dimuat naik, dapat dilihat kehadiran Loke yang hanya mengenakan kemeja kasual lengkap dengan topi dan pelitup muka, juga tidak disedari polis bantuan yang berada di stesen LRT tersebut.

“Petang tadi, saya meluangkan masa dua jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT KJ line semasa peak hour di antara pukul 5-7 petang.

“Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari,” tulisnya pada Isnin.

Susulan tinjauan berkenaan, Loke memaklumkan akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kita,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor