HomeBeritaDr Zaliha sedia terima pandangan bekas Menteri Kesihatan

Dr Zaliha sedia terima pandangan bekas Menteri Kesihatan

CYBERJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sedia menerima pandangan daripada bekas Menteri-Menteri kesihatan sebelum ini dalam mentadbir kementerian tersebut.

Menurutnya, beliau amat terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada mana-mana pihak termasuk penelitian terhadap polisi yang telah dikemukakan sebelum ini.

“Saya amat terbuka untuk terima cadangan dan pandangan tentang perkara-perkara yang Menteri sebelum ini lakukan atau ada polisi yang telah diwujudkan.

“Tetapi selaku menteri yang baharu, pastinya kita akan dapatkan maklum balas dari kementerian itu sendiri dan kita lihat apa polisi yang mungkin boleh diterima pakai atau ditolak kita belum pasti lagi,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata demikian selepas hadir sempena hari pertama memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kesihatan di pejabatnya pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut akui bahawa peranan baharu yang dipegangnya kini merupakan satu cabaran yang tinggi.

Bagaimanapun, beliau akan berusaha sebaiknya di samping memberi tumpuan lebih dalam aspek wanita dan kanak-kanak.

Melihat kepada pengalamannya sebelum ini di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Dr Zaliha menyatakan ia sedikit sebanyak membantunya untuk menerajui KKM.

“Sebelum ini saya merupakan Setiausaha Politik kepada Wan Azizah di KPWKM dan itu banyak membantu dalam kerjaya saya sebagai menteri wanita yang pertama (KKM).

“NGO wanita ada yang sudah hubungi saya termasuk doktor-doktor wanita dan kita akan fikir juga mengenai perkara yang sangat berkait dengan wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor