HomeBeritaFokus kerja kementerian, Anthony Loke tak akan jawab soalan politik

Fokus kerja kementerian, Anthony Loke tak akan jawab soalan politik

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kepada pihak media bahawa beliau tidak akan menjawab isu berkaitan politik ketika di bangunan Kementerian Pengangkutan.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, itu adalah pendirian beliau dan beliau hanya akan menjawab isu-isu berkenaan Kementerian Pengangkutan jika berada dalam sidang media kementerian.

“Pendekatan saya, kalau saya berada dalam bangunan Kementerian Pengangkutan, saya tidak akan menjawab apa-apa isu politik. Saya hanya akan fokus, biarlah pihak lain nak cakap apa, itu hak dia.

“Bagi kita, kita telah pun diberikan mandat dan tanggungjawab, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, dilantik sebagai menteri. Jadi, tugas kita ialah fokus kepada tugas saya sebagai Menteri Pengangkutan.

“Saya mohon maaf kepada semua rakan media, peraturan pertama dalam kementerian setakat sidang media di Kementerian Pengangkutan, hanya isu soalan berkenaan pengangkutan, jadi saya harap semua faham.

“Bukan saya angkuh, sombong dan tidak mahu menjawab soalan, kalau isu politik, boleh tanya saya dekat luar , kalau ada program parti boleh tanya saya isu politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan Kementerian Pengangkutan pada Selasa, selepas memulakan tugasnya secara rasmi di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP itu diminta wartawan untuk mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh DAP masih menerima banyak faedah walaupun tidak memegang banyak jawatan Kabinet.

Author

Pilihan Editor