HomeMV+BongkarGadis 30 personaliti dedah cabaran berbeza agama

Gadis 30 personaliti dedah cabaran berbeza agama

KUALA LUMPUR: Memahami kehidupan penghidap Dissociative Identity Disorder (DID) iaitu bertukar pelbagai personaliti secara frekuensi bukan mudah apabila ia membabitkan isu agama.

Namun inilah yang dialami sendiri oleh penghidap DID, Belle, 23, yang memiliki 30 personaliti termasuk jantina wanita, lelaki, usia antara enam tahun hingga 43 tahun yang dialaminya sejak lima tahun lalu bukan niatnya mempersendakan agama kerana setiap kali ‘bertukar roh’ ia di luar kawalan dan paras sedar.

Belle sebelum ini berkongsi pengalamannya hidup bersama personaliti yang amat bijak sehingga berjaya memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira lima tahun lalu.

MEDIA VARIASI juga sebelum ini mendedahkan agak mengejutkan apabila Belle yang sememangnya alah makanan kacang sejak kecil yang menyebabkan kulitnya gatal, bengkak dan kemerahan namun apabila ‘bertukar roh’ lain alahan itu hilang.

Lebih aneh dan tiada penjelasan dari sudut perubatan apabila bertukar frekuensi kepada beberapa personaliti berbeza berkenaan ada yang matanya rabun dan memiliki tahap kuasa kanta lekap berbeza setiap kali pemeriksaan mata dibuat.

Menerusi laporan bongkar siri keempat isu DID ini, Belle berkongsi pengalamannya ketika bertukar personaliti lelaki yang bertentangan jasad asalnya.

Belle mengakui kadang kala memakai dan membuka tudung mengikut frekuensi personaliti masing-masing, namun sudah merujuk isu dialaminya kepada ramai ustaz dan ustazah berkaitan agama tentang masalahnya.

Ini kerana katanya, setiap kali pertukaran berkenaan Belle hilang kesedaran, tetapi daripada cerita ahli keluarga dan rakan-rakannya, ada personaliti yang mengakui beragama selain Islam, malah ada juga atheis, selain ada yang minum minuman ‘high tolerance’.

“Layla pernah tanya ustaz, dalam kondisi Belle, kalau solat ke, pergi tandas ke, aurat macam mana.

“Dia kata, kalau tuan asal badan buat perkara dilarang Islam, jatuh hukum haram dan berdosa tetapi apabila bertukar frekuensi lain, ia jatuh kategori tidak waras sementara.

“Saya pernah masuk ke 7-Eleven, ketika itu Breanna. Sampai di kaunter saya tersedar dan ada botol soju di tangan padahal saya pakai tudung waktu itu, kemudian Breanna sempat cakap minta maaf dan saya letak kembali botol ke tempat asal,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Menerusi siri pertama Bongkar MEDIA VARIASI, masalah DID berpunca daripada trauma lebih teruk di masa lampau.

DID, masih baharu dalam masyarakat di negara ini, masalah yang sangat jarang ditemui dan tiada kajian mengenainya hanya dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental.

Belle bagaimanapun sanggup tampil di khalayak ramai melalui aplikasi akaun Tiktok miliknya semata-mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai DID agar masyarakat lebih memahami daripada mudah jatuh hukum.

Tambah Belle pertukaran personaliti tidak boleh dipaksa atau pilihan sendiri, ia berlaku secara spontan.

Sehubungan itu, Belle menjelaskan sering berlaku polemik, percanggahan antara kehendak dirinya yang asal dan juga personaliti yang mengambil alih jasadnya.

Berlaku satu kebetulan, apabila ketika MEDIA VARIASI pertama kali mahu menemubual Belle, gadis itu mengalami ‘rapid switch’ frekuensi sehingga 35 kali pada satu masa sehingga membuatkan hidungnya berdarah.

Belle berkata, setiap kali cenderung untuk berlaku pertukaran frekuensi, dia akan mengalami beberapa simptom sebelum pengsan dan tidak sedarkan diri terlebih dahulu.

“Kepala akan terasa terawang-awangan, migrain, dada berasa senak, pernafasan rasa tersangkut, tulang rusuk rasa hancur sebelum pengsan, sehingga kadang kala badan rasa terlalu penat,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor