HomeBeritaHarap Anwar PM dapat tambah baik undang-undang 'lapuk' – Yasin

Harap Anwar PM dapat tambah baik undang-undang ‘lapuk’ – Yasin

CYBERJAYA: “Saya rasa belum terlewat untuk saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Itulah yang diungkap penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman ketika ditemui media selepas sebutan kes membabitkan tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen, Putrajaya, hari ini.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, menyatakan dia telah melihat liku-liku perjalanan Anwar yang penuh duri dalam memperjuangkan suara rakyat dan akhirnya kini bergelar seorang Perdana Menteri.

Pada masa sama, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu turut berharap Anwar dapat menambah baik undang-undang lapuk termasuk kes dadah, lapor Kosmo pada Khamis.

Dalam prosiding perbicaraan Yasin hari ini, mahkamah menangguhkan keputusan representasi bagi tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin kepada 11 Januari depan.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih menunggu keputusan ketiga-tiga representasi berkenaan.

Peguam bela yang mewakili Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan representasi itu yang difailkan 23 September lalu.

“Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi, namun kami dihubungi oleh pendakwaan bahawa mereka memerlukan sedikit masa. Tiada masalah untuk keputusan representasi dalam tempoh singkat, dalam tiga minggu ini,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, bersetuju satu tarikh singkat bagi keputusan representasi itu selain mengesahkan masih menunggu keputusan tersebut representasi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada 22 Ogos lalu, mahkamah menetapkan 15 hari bermula Mac tahun depan bagi perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac yang mana seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 Julai lalu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman nyaris berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Author

Pilihan Editor