HomeGaya HidupKajian dapati penggunaan e-rokok akibatkan kanser paru-paru

Kajian dapati penggunaan e-rokok akibatkan kanser paru-paru

PENGGUNAAN rokok elektronik (e-rokok) boleh menyebabkan risiko kesihatan seperti mengalami penyakit kanser paru-paru.

Perkara itu terbukti menerusi beberapa dapatan kajian yang menyimpulkan bahawa pengambilannya memudaratkan kesihatan manusia oleh kerana e-rokok menghasilkan beberapa bahan kimia berbahaya termasuk acetaldehyde, acrolein, and formaldehyde.

Malahan, kesemua bahan tersebut juga boleh menyebabkan masalah paru-paru, serta penyakit kardiovaskular (jantung).

Kajian di University of Southern California mendapati, individu yang menghisap e-rokok bakal mengalami perubahan molekul dalam tisu badan yang menjerumus pada penyakit kanser.

Manakala kajian dari University of North Carolina pula mendapati, dua ramuan utama yang terdapat dalam rokok elektronik – propylene glycol dan gliserin – adalah toksik kepada sel dan jika lebih banyak bahan-bahan itu dalam cecair, semakin tinggi toksinnya.

Lebih memburukkan keadaan apabila pakar penyelidik turut mendapati individu yang menyedut wap e-rokok bakal mengalami kesan teruk.

Perkara itu terbukti menerusi kajian yang dilaksanakan New York University (NYU) selama empat tahun terhadap 40 tikus makmal.

Laporan kajiaan mendapati, wap e-rokok menyebabkan kerosakan DNA dalam paru-paru dan pundi kencing serta menghalang pembaikan DNA dalam tisu paru-paru.

Daripada 40 tikus yang terdedah kepada wap e-rokok dengan nikotin selama 54 minggu, 22.5% menghidap kanser paru-paru dan 57.5% mengalami prakanser pada pundi kencing.

Menurut seorang profesor Fakulti Perubatan NYU, Profesor Tang, kajian mengenai hubungan antara penggunaan e-rokok dan kanser pada manusia perlu dilaksanakan lebih banyak memandangkan trend penggunaan e-rokok masih baharu dalam era kini.

Malahan, Profesor Tang turut berpandangan bahawa daripada hasil kajiannya terhadap tikus makmal, tiada penemuan yang menunjukkan penggunaan e-rokok adalah selamat untuk manusia.

“Jumlah asap yang terdedah kepada tikus makmal adalah sama dengan apa yang manusia akan sedut jika mereka melakukan vape secara kerap selama kira-kira tiga hingga enam tahun.

“Jika mereka menggunakan e-rokok dengan kerap, itu mungkin serupa seperti rokok mudah terbakar,” katanya seperti dilapor CNBC.

Kajian Profesor Tang turut selaras dengan dapatan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) yang mendapati tiada satu e-rokok yang selamat dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.

Sekiranya perokok bersedia untuk berhenti merokok, mereka perlu bertemu pakar atau berbincang dengan doktor mereka mengenai cara terbaik untuk berhenti menggunakan kaedah yang telah terbukti berkesan serta menjalani rawatan dan kaunseling yang sesuai.

 

Author

Pilihan Editor