HomeHiburanLaporan media, bongkar wajar dijadikan filem - Norma Norell

Laporan media, bongkar wajar dijadikan filem – Norma Norell

KUALA LUMPUR: Laporan pemberitaan seperti siri pembongkaran atau dokumentasi berasaskan cerita atau fakta sebenar kehidupan wajar diadaptasi ke layar perak.

Filem tempatan yang tiada asas atau elemen yang kukuh tidak wajar disenaraikan untuk pengiktirafan dan penganugerahan berprestij.

Penganjur Bersama Anugerah Telenovela 2022, Datin Norma Norell berkata, laporan berita adalah lebih baik kerana berupaya meningkatkan tahap pemikiran penonton.

Ini kerana, penggiat seni negara sedang berusaha membawa imej industri kreatif lebih bertamadun dan berpendidikan di mata luar, dan pada masa yang sama meningkatkan daya tahap pemikiran rakyat Malaysia lebih ke hadapan.

Bagaimanapun katanya, perkara sama yang pernah disyorkan kepada ahli jawatankuasa penggiat seni, namun tiada perkembangan dan sokongan.

“Memang saya pernah syorkan cerita itu mesti ada substance (elemen nilai hidup sebenar), ada isu semasa, nilai pasaran, tak ada jerit-jerit tetapi tak ada perkembangan.

“Jadi, kenapa filem Korea, Indonesia, berjaya? Sebab mereka bawa isu berat, ada substance dalam filem tetapi diselitkan unsur romantis, berlakon sangat bagus. Bukan sebab mereka ‘jual’ wajah tampan dan cantik,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas soalan MEDIA VARIASI berhubung adaptasi berita ke layar perak, pada sidang media penganjuran Anugerah Telenovela sempena Festival Industri Kreatif Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Yang turut hadir, barisan jawatankuasa penganjur, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah dan seniwati Fauziah@Ogy Ahmad Daud.

Penganjuran Anugerah Telenovela Edisi Ke-8 sempena Festival Industri Kreatif Kebangsaan dan Ekspo Buku dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), pada 1 hingga 5 Februari 2023.

Ia juga diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Norma yang juga pereka fesyen mengakui sepanjang hidup tidak pernah meminati filem dari Asia Timur seperti Korea tetapi persepsi itu berubah selepas menonton drama siri televisyen Korea, It’s Ok to Not Be Okay ketika tempoh pandemik COVID-19.

“Kalau orang tiada pendidikan psikologi, akan cakap ia mengarut tetapi drama ini penuh psychological substance, mengenai isu kemurungan, macam mana nak uruskan kemurungan berperingkat bermula dari kanak-kanak.

“Tetapi orang Malaysia tidak sampai tahap itu, bukan deep thinker (suka berfikir lebih dalam).

“Jadi, kita kena ubah, industri kreatif ada imej Melayu yang anggun, berpendidikan, kita semua orang bertamadun,” katanya.

Justeru katanya, beliau sekali lagi mengesyorkan supaya filem atau drama tiada nilai hidup sebenar tidak wajar diberikan pengiktirafan dan wujudkan konsep supply and demand supaya filem negara lebih dihargai dalam dan luar negara.

Sementara itu, Fauziah yang juga senada dengan Norma berkata, negara seperti Korea kini semakin mendapat tempat di seluruh dunia kerana berani mempromosi budaya dan tradisi negara mereka.

“Indonesia dan Korea contohnya telah memasarkan filem mereka daripada zaman era 80-an, berjinak-jinak masuk ke persada seni antarabangsa.

“Jadi, apa yang dia (Korea) jual dulu? Budaya dan tradisi, cuma sekarang lebih kepada moden tapi masih mengekalkan elemen sama,” katanya.

Author

Pilihan Editor