HomeBeritaPolitikPemecatan UMNO: Annuar mimpi ditarik keluar dari rumah terbakar

Pemecatan UMNO: Annuar mimpi ditarik keluar dari rumah terbakar

CYBERJAYA: “Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.”

Itulah ungkapan yang dilantunkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah memberi gambaran bahawa dirinya kini tidak lagi berada dalam parti UMNO.

Meskipun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi, menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, Annuar berkongsi kisah beliau bermimpi bahawa rumah pusaka yang didiaminya terbakar, walaupun tidak meninggalkan rumah itu, tetapi ditarik keluar.

“Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada main switch dah short circuit atau wayarnya terputus.

“Ramai penghuni rumah sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar itu. Saya sayang rumah itu dan saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar,” tulisnya pada Jumaat.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengakui bahawa beliau masih sayangkan rumah berkenaan namun, kini hanya mampu berdoa supaya rumah terbakar itu dapat diselamatkan.

Semalam, terdapat desas-desus menyuarakan khabar angin mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memecat Annuar dari UMNO.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, mengesahkan pemecatan tiga individu dalam parti itu namun tiada nama yang didedahkan oleh beliau.

Menurut Mohd Puad, ketiga-tiga individu itu dipecat kerana mencemuh parti dan berkempen bagi pihak lawan malah ada antaranya yang mendedahkan hasil mesyuarat MKT kepada pihak lain yang tidak terlibat dengan UMNO.

 

Author

Pilihan Editor