HomeBeritaPemilik sangkar ikan terkejut jumpa mayat wanita Rusia terjun jambatan

Pemilik sangkar ikan terkejut jumpa mayat wanita Rusia terjun jambatan

GEORGETOWN: Seorang pemilik sangkar ikan terkejut apabila menemui sekujur jasad berupa wanita tersangkut di sangkar ikannya di Pulau Jerejak.

Kejadian yang berlaku itu dilaporkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang sekitar jam 1.42 tengah hari, pada Isnin.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, sebaik menerima laporan tersebut, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi bersama beberapa aset dari agensi sahabat.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, mayat mangsa adalah seorang perempuan warga Russia, 34, yang disyaki terjun laut dari jambatan pertama Pulau Pinang lebih kurang jam 2.35 awal pagi Isnin.

Mangsa dilaporkan meninggalkan sebuah beg tangan beserta dokumen pengenalan diri di atas jambatan tersebut sebelum terjun jambatan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan disanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Perai untuk dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk proses bedah siasat serta siasatan lanjut.

Terdahulu, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op Carilamat pada jam 6.55 pagi Isnin berhubung kejadian itu dengan melibatkan aset agensi dari Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam untuk melaksanakan pencarian.

Author

Pilihan Editor