HomeMV+BongkarPerempuan lebih mudah ada masalah mental, hidap DID - Dr Aida Harlina

Perempuan lebih mudah ada masalah mental, hidap DID – Dr Aida Harlina

KUALA LUMPUR: Golongan perempuan lebih mudah menghadapi masalah kesihatan mental kerana perbezaan hormon dan biologi badan menerima tekanan.

Isu kesihatan mental banyak cabang dan salah satunya mudah mendapat masalah Dissociative Identity Disorder (DID) atau bertukar  banyak personaliti secara frekuensi berbanding lelaki.

Perkara ini diakui oleh Pakar Psikiatri dari Jabatan Psikiatri Hospital Serdang, Dr Aida Harlina Abd Razak.

Dr Aida Harlina mendedahkan, belum ada banyak kajian terperinci dan mendalam mengenai masalah DID di Malaysia, namun jika merujuk fakta kajian menyeluruh di Asia, purata penghidap penyakit itu adalah satu peratus dalam sesebuah negara.

“DID tidak seperti kemurungan, kebimbangan (depression anxiety). Purata penghidap DID adalah satu peratus berbanding depression anxiety dalam 10 peratus, tetapi jika kita ikutkan purata satu peratus dalam negara, itu dah dikira banyak, bayangkan penduduk Malaysia ada 30 juta orang.

“Bagi perbandingan perempuan dan lelaki, perempuan lebih mudah mendapat DID, dan mengikut nisbah 9:1. Rata-rata golongan ini akan menghidap seawal kanak-kanak, lewat remaja kepada usia 30 tahun,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Belle yang bertukar personaliti secara frekuensi menjadi lelaki

MEDIA VARIASI menerusi siri Bongkar mendedahkan sisi kehidupan penghidap DID, Belle, 23, yang memiliki 30 personaliti termasuk jantina wanita, lelaki, usia antara enam tahun hingga 43 tahun yang dialaminya sejak lima tahun lalu.

Keadaan yang dialaminya bukan berniat mempersendakan agama kerana setiap kali ‘bertukar roh’ ia di luar kawalan dan paras sedar.

Belle sebelum ini berkongsi pengalamannya hidup bersama personaliti yang amat bijak sehingga berjaya memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan apabila Belle yang sememangnya alah makanan kacang sejak kecil yang menyebabkan kulitnya gatal, bengkak dan kemerahan namun apabila ‘bertukar roh’ lain alahan itu hilang.

Juga tiada penjelasan dari sudut perubatan apabila bertukar frekuensi kepada beberapa personaliti berbeza berkenaan ada yang matanya rabun dan memiliki tahap kuasa kanta lekap berbeza setiap kali pemeriksaan mata dibuat.

Menerusi laporan bongkar siri keempat isu DID ini, Belle berkongsi pengalamannya ketika bertukar personaliti lelaki yang bertentangan jasad asalnya.

Dr Aida Harlina berkata, masyarakat kurang mendapatkan pendedahan kesedaran tentang kesihatan mental khususnya DID.

Katanya, malah ada yang memberikan stigma dan persepsi negatif tanpa cuba memahami pengertian penyakit ini yang sebenarnya wujud dalam negara.

“Saya sendiri pun belum cukup faham mengenai DID, tetapi di sini saya mahu mengambil kesempatan menjelaskan, bukan DID sahaja yang dilabel buat-buat sakit tetapi yang menghadapi masalah seperti kemurungan dan skizofrenia (skizo).

“Masyarakat kita sendiri diberi kefahaman konsep yang salah terhadap pesakit menghadapi masalah mental.

“Contohnya skizo, ia 60 peratus berpunca daripada genetik atau keturunan, berubah watak atau ‘split personality’ selain tidak waras dan agresif.

“Berbanding DID, ia bukan genetik tetapi berpunca daripada trauma waktu kecil, dan bukan tidak waras, dan mereka tidak ada kecenderungan mencederakan orang lain,” katanya.

Katanya lagi, punca kepada DID juga belum lagi dapat dipastikan secara sahih namun memberi beberapa faktor iaitu mengalami trauma dari zaman kanak-kanak, 90 peratus punca adalah daripada penderaan fizikal dan seksual yang kebanyakannya daripada penderaan seksual.

Beliau menambah, rawatan untuk pesakit mental khususnya DID, tiada ubatnya melainkan mengikut program terapi secara kerap bagi menangani trauma sekali gus mengurangkan jumlah frekuensi personaliti.

“Kebanyakan DID berpunca daripada trauma, ia boleh membawa kepada anxiety, susah tidur, jadi kita ada bantu beri ubat tidur.

“Tetapi trauma, pesakit perlu mengikuti program terapi, belajar menangani tekanan secara sihat, daripada cenderung bertukar frekuensi, kita berdamai dengan takdir lalu atau dalam Islam, kita reda. Kita tak ada ubat buat orang jadi lupa,” katanya seloroh.

Beliau turut menjelaskan, untuk mendapatkan kad orang kelainan upaya (OKU) bagi pesakit masalah mental juga perlu menepati kriteria dan setakat ini, hanya penghidap skizofrenia, bipolar disorder dan depression anxiety sahaja memilikinya.

Justeru, Dr Aida Harlina menyeru kepada masyarakat supaya menghapuskan stigma ‘gila’ terhadap pesakit menghadapi masalah mental, sebaliknya memahami dan membantu mereka.

“Kalau boleh, kita nak hapuskan stigma persepsi negatif masyarakat terhadap pesakit ini, terutamanya perkataan gila.

“Jangan stigma kan mereka kalau mereka ada masalah, daripada kita menyisihkan dia, kita tanya masalah dia, kita sendiri cuba bantu.

“Ada orang sedar dia ada penyakit mental, tetapi mereka malu untuk mendapatkan rawatan, ada juga tak sedar tetapi orang sekeliling sedar tetapi tak mahu terlibat,” katanya.

Menurutnya lagi, semua klinik kesihatan di Malaysia menawarkan program kesihatan mental, tetapi dengan kepakaran terhad.

“Jika penyakit pesakit lebih kompleks, doktor di klinik akan merujuk ke hospital di bawah program Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) yang mana pesakit tidak perlu ke hospital, selain banyak talian kesihatan seperti Befrienders atau HEAL 15555.

‘Kerajaan juga ada melakukan program kesihatan mental di sekolah melalui kerjasama dengan Unit Kesihatan sekolah dan saringan terhadap murid Darjah Empat, Tingkatan Dua dan Empat.

“Guru kaunselor akan membantu pelajar, cuma tidak semua sekolah ada program ini, kerana kekangan tenaga,” katanya.

Maya Karin

Beberapa hari lalu, media melaporkan pelakon, Maya Karin mendedahkan dirinya diserang ‘panic attack’ atau serangan panik ketika menyampaikan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang bersiaran secara langsung di Encore Melaka.

Situasi itu disaksikan penonton di dewan berkenaan serta penonton di rumah apabila pelakon jelita itu tiba-tiba menggigil dan gagal menyeimbangkan badan ketika membacakan anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik ketika itu.

Pada malam anugerah yang bersiaran di TV2 itu, Maya sempat meminta maaf dan terpaksa memegang bahu Faizal untuk memastikan dia tidak terjatuh atau tersungkur.

Maya juga dilihat membuka kasut tumit tingginya dan meneruskan dengan membaca skrip yang disediakan walaupun dalam keadaan menggigil.

Janna Nick

Selain Maya Karin, beberapa artis juga pernah mendakwa berhadapan isu masalah kesihatan mental seperti Janna Nick, Ardell Aryana, Diana Danielle, Remy Ishak, Elizabeth Tan dan Iqram Dinzly.

Boleh dikatakan setiap orang berhadapan isu masalah kesihatan mental cuma serius atau tidak dan bagaimana mereka menangani isu ini yang menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, rakyat diseru tidak mudah menjatuhkan hukum, bergelak ketawa kepada golongan ini kerana kita tidak tahu sejauh mana derita yang dialami, adalah lebih baik kita membantu memahaminya.

Author

Pilihan Editor