HomeGaya HidupRumah Artis tawar barang vintaj eksklusif pada harga B40

Rumah Artis tawar barang vintaj eksklusif pada harga B40

KUALA LUMPUR: Projek Rumah Artis menawarkan barangan hiasan rumah berkonsepkan vintaj yang jarang didapati dan eksklusif, pada kadar harga golongan B40.

Antara barang vintaj seperti radio klasik, televisyen lama, pemain muzik, kerusi, katil dan beratus lagi barangan antik.

Ada barang vintaj ini harganya RM1,800 tetapi dijual pada harga RM600 sahaja selain serendah RM1 seunit.

Pakar Runding, Penjenamaan, Pemasaran dan Strategi, Ku Addy Fazly Ku Radin atau Broku berkata, pihaknya menempatkan barang vintaj berkenaan di sebuah rumah yang diubah suai seperti rumah lama sebagai ruang pameran dan jualan terus.

“Yang menariknya barang-barang ini kita bawa terus dari kilang dengan dekorasi bajet mengikut kemampuan dengan hasil luar biasa.

“Ramai orang ada bisnes, tetapi tidak reti membuat dekorasi, jadi dengan Rumah Artis, kita nak potong gerak kerja orang tengah dengan membawa terus barang dari kilang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Broku berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rumah Artis oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Datuk Seri Zurainah Musa, di Jalan Ipoh, Sentul, di sini.

Rumah Artis adalah projek kerjasama pelakon, Putra Amaris bersama Broku dan pakar perkhidmatan perunding hiasan dalaman, Azirun Ramly.

Sebagai pemilik Rumah Artis dan jurucakap, dan usahawan pula, Putra Amaris menjelaskan idea perniagaan ini hadir melalui minat yang mendalam terhadap bidang dekorasi.

“Di sini bukan sahaja perabot, tetapi kami juga menyediakan perkhidmatan perunding hiasan dalaman yang akan mengetengahkan Azirun.

“Saya yakin dengan latar belakang Azirun sebagai pereka fesyen sebelum ini mampu memberi kepuasan kepada pelanggan yang datang ke Rumah Artis,” katanya.

Putra Amaris berkata, sebagai anak seni, beliau juga tahu akan kesulitan yang dihadapi produksi dalam industri dalam mendapatkan pelbagai produk perhiasan untuk menjayakan penggambaran.

“Di Rumah Artis, kami turut menyediakan perkhidmatan menyewa barangan dekorasi termasuk menjadikan lokasi ini sebagai set,” katanya.

Putra Amaris juga akan memastikan perniagaan itu mendapat tempat di hati penggemar hiasan dalaman dengan merancang untuk membuka lebih banyak cawangan akan datang dan mengajak perunding hiasan dalaman lain untuk saling bekerjasama.

“Saya juga ingin meminta perunding hiasan dalaman yang ingin bernaung bersama kami untuk terus ke Rumah Artis kerana memerlukan lebih ramai perunding hiasan dalaman yang mempunyai idea yang lebih berani,” katanya.

Sementara itu, Azirun berkata, bersesuaian dengan slogan Rumah Artis ‘Deko orang kaya, Harga boleh kira’, beliau berasa bertanggungjawab untuk membantu pelanggan untuk membuat pilihan barangan dekorasi bagi kediaman mereka.

“Kita tahu ada ramai yang skeptikal dengan perunding hiasan dalaman yang pada mereka akan mengambil kesempatan ketika mengenakan bayaran.

“Tetapi di sini kami menyediakan perkhidmatan yang memberi fokus kepada kemampuan pelanggan.

“Bukan itu sahaja, pelanggan boleh mendapatkan produk dekorasi rumah dengan harga yang mampu milik dari sebesar besar perabot sehingga sekecil kecil produk antaranya lampu meja,” katanya.

Author

Pilihan Editor