KUANTAN: Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot Airline (Scoot) kini kembali menawarkan perkhidmatan ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS).
Pesawat pertama yang membawa 75 penumpang tiba daripada Singapura pada jam 11.15 pagi, semalam.
“Mengikut rekod, kedatangan pelancong Singapura antara pelancong teramai yang datang ke Pahang.
“Antara tempat yang sering dilawati oleh pelancong Singapura ialah Sungai Lembing, Kuantan, Genting Highlands, Bentong dan Rompin.
“Diharap dengan wujudnya penerbangan Singapura – Kuantan ini akan dapat menambah lebih kedatangan pelancong luar ke Pahang,” tulis Tourism Pahang di Facebook rasminya pada Rabu.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan pengoperasi semula penerbangan Scoot ke Pahang kerana Singapura merupakan antara penyumbang utama kepada kedatangan pelancong di negeri itu.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pengoperasi semula penerbangan Scoot ke sini kerana Singapura merupakan antara penyumbang utama kepada kedatangan pelancong ke Pahang,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.
Tambah beliau, perkhidmatan Scoot dari Singapura-Kuantan-Singapura akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad sekitar jam 10.15 pagi dari Singapura dan 11.15 pagi dari LTSAS.
Terdahulu, Razihan menyambut ketibaan pesawat pertama bersama Timbalan Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof dan Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Puzi Sh Ali.