CYBERJAYA: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah masih mempertimbangkan permohonan pembelaan untuk memanggil kembali tiga saksi pendakwa termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, kerana senarai nama saksi itu belum dimuktamadkan
Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memutuskan keputusan selepas meneliti permohonan yang telah dikemukakan pihak pembelaan pengasas rumah kebajikan itu, lapor Kosmo hari ini.
Pada 24 November lalu, Mahkamah memerintah Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.