PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan siasatan terhadap dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Suruhanjaya itu hari ini menjelaskan, siasatan awal mendapati hanyat RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.
“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” kata badan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas SPRM menerima butiran daripada Kementerian Kewangan mengenai pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.
Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama pada 5 Disember mendakwa terdapat “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.
Bagaimanapun, Perdana Menteri ke-10 itu tidak mendedahkan butiran lanjut.
Sementara itu, Muhyiddin pula mengatakan beliau tidak pasti bagaimana angka itu boleh timbul dan berkemungkinan pengkritiknya terkeliru dengan peruntukan RM530 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi.
Katanya, daripada keseluruhan RM530 bilion itu, sebahagian besarnya tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan kerana ia termasuk pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Persekutuan (KWSP), moratorium bayaran pinjaman bank dan jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat.
Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan ketika berdepan pandemik Covid-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lepas.
SPRM akan memanggil Muhyiddin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.