UCAPAN dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi “No Bersatu, No Anwar, No DAP” pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang berlangsung Mac 2021 akan kekal menjadi catatan sejarah.
Malah, laungan itu kini menjadi ‘modal’ serangan pembangkang terhadap Timbalan Perdana Menteri itu yang dianggap mengkhianati ahli partinya.
Pada pendapat mereka, apabila Perikatan Nasional (PN) di blok pembangkang berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung Rabu lalu, membuktikan ‘hukuman’ ke atas parti itu kerana bergabung dengan BN yang melanggar ‘sumpah’.
Namun, di sebalik semua kekecohan yang terjadi, PN turut dilihat seolah-oleh ‘buat-buat lupa’ bahawa pemimpin parti mereka juga melanggar suara sendiri.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada April 2013 pernah mengeluarkan kenyataan melabelkan Parti PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’.
Perkara itu berikutan kenyataan kontroversi Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disifatkan sebagai fatwa songsang sehingga boleh mengelirukan rakyat.
Nik Abdul Aziz pada ketika itu turut mengatakan solat orang UMNO tidak diterima Allah.
Namun kini, gabungan PAS dengan PN seperti memberi makna bahawa Muhyiddin sudah ‘memadamkan laungannya’ demi keharmonian hidup bersama.

Tidak lupa juga dengan pendirian PAS yang menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP yang dianggap kafir musuh Islam.
Namun, pada tahun 2008, pendirian PAS ternyata hanya ‘bicara kosong’ kerana parti itu akhirnya bergabung dengan DAP dan PKR menerusi Pakatan Rakyat, menyaksikan ikatan hubungan berlangsung sehingga 2015.

Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong, Terengganu iaitu kenyataan yang pernah dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada April 1981 yang mengatakan ahlinya mati syahid jika menentang UMNO.
Kenyataan itu sudah difatwakan sesat meskipun Hadi Awang tidak didakwa.
Segala prinsip, pegangan, sumpah janji atau apa sahaja yang keluar daripada mulut parti berkenaan lebur ketika jalinan Muafakat Nasional (MN) iaitu kerjasama PAS dan UMNO semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Pada 13 Oktober 2022, PAS telah menarik balik sokongan terhadap UMNO dan menyokong PN bagi menghadapi PRU15 sekali gus menguburkan MN.
PRU15 menyaksikan PAS menentang UMNO habis-habisan dalam kem dan tiket PN yang turut diterajui Bersatu.
DAP dan PKR juga pernah melaungkan tolak UMNO dan BN malah, nyanyian lagu ‘Ho Ya Hoi’ menyindir parti penyamun dan laungan itu juga kini dilupakan demi kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Apa yang boleh disimpulkan, semua manusia boleh menyuarakan apa sahaja mengikut hala tuju situasi yang didepani namun, tiada seorang pun yang berupaya melaksanakan segala yang dibicarakannya secara sempurna.
Ini kerana suara dalam politik bersifat rapuh, tidak statik, sentiasa berubah mengikut situasi semasa.
Bahkan, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menelan segala katanya ketika bekerjasama dengan PKR, DAP bagi membentuk Pakatan Harapan pada 2018.
Begitu juga dengan Zahid yang turut dicerca kerana melanggar laungannya sendiri.
Tetapi pernahkah sesiapa bertanya, atau cuba memahami punca utama cucu pahlawan Perak dan bangsawan dari Jawa itu sanggup melanggar suara sendiri?
Jawapan yang tepat tentunya hanya ada pada Zahid sendiri akan tetapi pada pandangan penulis dengan melihat karakter diri cucu Pak Sagor ini, tindakan beliau itu adalah demi kepentingan Melayu.
Kenapa penulis berpandangan sedemikian?
Zahid sedar Melayu sudah berpecah lebih 10 cabang politik dimana terdapat sebilangan pihak menyokong PN, PAS, Bersatu, Pejuang, GTA, Bebas dan lain-lain.
Malahan, perpecahan ini turut terkesan dalam UMNO dan BN.
Ditambah pula panglima perang UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang memiliki pengaruh paling kuat untuk memberi kejayaan besar buat BN pada PRU15 sudah diheret ke penjara sebelum PRU15.
Ketika itu kerajaan dipimpin bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri, maka jangkaan Zahid untuk BN kembali berkuasa amat sukar.
Beliau turut sedar bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk melawan golongan ‘pengkhianat’ apatah lagi mereka berani duduk semeja menghadap rezeki bersama, menguntum senyuman sambil tangannya di belakang memegang keris.
Dalam situasi ‘darurat’ itu, dengan mengetahui wajah pengkhianat dan musuh dalam selimut, apakah yang paling wajar dilakukannya?
Zahid memutuskan berada bersama pihak yang dianggap musuh berbanding bersama rakan yang tidak jujur.
Musuh boleh diketahui menerusi gerak gerinya tetapi lebih bahaya bersama manusia yang dianggap rakan namun sanggup menikam kita saat terlena.
Beliau mengambil pelajaran lalu ketika PH memerintah negara tanpa BN, hak bangsa semakin lesu dan dijarah satu persatu.
Zahid kenal musuh dalam selimutnya tetapi meneruskan perjalanan demi survival Melayu sebagaimana prinsip perjuangan UMNO-BN yang dibawanya dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika ada yang mengatakan beliau cuma hendak selamatkan diri semata, jangan lupa pengorbanan beliau rela naik turun mahkamah lebih 200 kali setelah didakwa dengan dorongan politik kerana enggan menguburkan UMNO dan BN ketika kekalahan teruk pada PRU14.
Sebagai nakhoda kapal, Zahid sedaya upaya menyelamatkan kapal daripada karam meskipun sudah terdapat banyak kerosakan dalam pelayaran itu.
Beliau juga sekeras-kerasnya menolak jemputan lompat parti atas dasar kasihnya terhadap parti yang masih diharap dapat memberi sinar membela nasib Melayu.
Seharusnya anak kapal berbangga dengan nakhodanya kerana mampu mengemudi bahtera mengharungi ombak badai serta tsunami melanda, bukanlah hal mudah berada dalam parti yang dihina tetapi amat diperlukan.
Walaupun BN kalah teruk pada PRU15, beliau masih berjaya menjadikan BN sebagai ‘berlian’ yang masih bertahan dalam tekanan dan suhu tinggi.
BN menjadi Raja Penentu ‘King Maker’ hingga menjadi rebutan PH dan PN untuk membentuk kerajaan.
Malah, penyertaannya dalam PH dilihat berjaya menjinakkan lanun yang sebelum ini terkenal dengan sikap subversif di bumi yang dipijak.
Sejurus menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri perkara terawal yang dilakukannya adalah mengingatkan DAP agar kedudukan Islam, hak Melayu dalam Perlembagaan.
Jadi untuk keharmonian kerajaan baharu yang dibentuk ini, rakyat diseru untuk berfikiran lebih terbuka untuk memahami yang tersirat berbanding menghukum yang tersurat, jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.
*Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian MEDIA VARIASI