HomeGaya HidupTiga kali tunai umrah dengan berat berbeza, wanita ini dedah punca nekad...

Tiga kali tunai umrah dengan berat berbeza, wanita ini dedah punca nekad nak kurus

MENJADI impian setiap wanita untuk mempunyai tubuh badan yang langsing dan sihat sentiasa.

Namun, semakin usia meningkat sejajar dengan perubahan hormon, pastinya perubahan berat badan itu lebih kelihatan ketara untuk naik secara mendadak.

Ditambah pula dengan dunia yang kaya citarasa makanan, tentunya sebilangan daripada wanita menjadi ‘rapuh’ dek terliur menahan nafsu untuk mencuba pelbagai hidangan yang ditawarkan dalam pasaran masa kini.

Namun dalam godaan nafsu itu masih ada yang berjaya mengubah gaya hidup demi mencapai impian mendapatkan berat badan yang ideal.

Seperti yang dikongsi seorang wanita ini, misi menurunkan berat badan dilihat progresif dan secara tidak langsung menaikkan stamina.

Athirah Abdullah mengakui bahawa perjalanan menurunkan berat badan daripada 130 kilogram (kg) ke 86kg bukanlah suatu proses yang mudah untuk dilaluinya kerana mengambil masa hampir satu tahun lima bulan.

Berkongsi tentang kisah Athirah mengerjakan umrah selama tiga kali dengan berat badan yang berbeza, nyata memberi inspirasi buat para wanita di luar sana untuk kekal istiqamah dalam menjayakan misi.

Menurut Athirah, banyak perubahan yang dialaminya setelah menurunkan berat badan khususnya dalam konteks menunaikan ibadah.

“Solat dah sangat ringan boleh sujud dan bangun dengan sangat ringan kalau sebelum ini, Subhanallah azab nak bangun dari sujud. Duduk tahiyat pun selesa boleh angkat ibu jari kaki dengan tenang, lantai masjid sebesar sejadah tu dah muat punggung kalau sebelum ini asyik terduduk atas kaki orang je masa tahiyat akhir.

Tambahnya lagi, antara faktor yang membuatkan dia nekad untuk menurunkan berat adalah kerana usianya yang kini sudah memasuki angka 30 tahun.

“Sebab kalau tak kurus lagi memang sampai bila pun berat susah turun, lepas itu, saya tak pernah kurus dari kecil sebab itu kali ini nekad nak buat sungguh-sungguh,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Berkongsi tentang kisah silamnya, Athirah turut mengakui dia juga seringkali menjadi mangsa body shaming dengan mendapat gelaran ‘badak’.

“Dari kecil kawan-kawan panggil saya ‘badak’. Cara saya atasi adalah enjoy sahaja apa yang diorang nak katakan di depan semua orang. Tapi belakang, saya sedih,” ungkapnya.

Athirah yang kini beratnya mencecah 86kg masih konsisten dalam menjaga pemakanan dan gaya hidup seharian bagi memastikan impiannya mendapatkan berat ideal iaitu 65kg terlaksana.

Pada masa sama, Athirah turut mengingatkan kepada mereka yang mahukan perubahan supaya bersabar dalam menjalani misi berat ideal.

“Banyak kelebihan bersabar tukar lifestyle dari makan entah pape kepada amal gaya hidup sihat,”

“Kalau nak start berubah kena buat keputusan nak atau tak nak,’” ujarnya.

Berikut merupakan perkongsian menu hidangan yang diambil Athirah dalam perjalanan mendapatkan berat idealnya.

 

Author

Pilihan Editor