HomeBeritaWanita Orang Asli maut dipijak gajah di Lipis

Wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Lipis

 

LIPIS: Seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah dalam kejadian di Kampung Simoi Baru Pos Betau, Pahang, awal pagi tadi.

Mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, ditemukan meninggal dunia di kawasan pokok pisang berhampiran rumahnya sekitar jam 4.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, Balai Polis Sungai Koyan menerima laporan kejadian serangan sekumpulan gajah di kampung Orang Asli berkenaan sebelum sepasukan polis dihantar ke lokasi.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa tinggal bersama lapan ahli keluarga di rumah kayu dinding buluh dan dikelilingi pokok pisang serta berhampiran kebun getah.

“Ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur sebelum tersedar apabila gajah menarik dinding dan rumah bergoyang.

“Kesemua penghuni segera melarikan diri dalam keadaan gelap. Selepas berkumpul semula baru disedari mangsa tiada.

“Mereka mencari dan menjumpai mangsa di kawasan pokok pisang berhampiran rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azli, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Author

Pilihan Editor