HomeBeritaAmanah akan turut serta NGO serah memorandum di Kedutaan Sweden

Amanah akan turut serta NGO serah memorandum di Kedutaan Sweden

KLANG: Amanah mengesahkan akan turut serta bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum bantahan tindakan membakar al-Quran di Kedutaan Sweden esok.

Perkara itu disahkan Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan kepada pihak media ketika ditanya tindakan serta ulasannya berhubung isu tersebut.

“Kita akan bersama dengan NGO-NGO menyerahkan memorandum di Kedutaan Sweden esok, jam 10.30 pagi, kita akan bersama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan juga NGO-NGO dalam himpunan untuk menyerahkan bantahan kepada kerajaan Sweden tentang apa yang telah berlaku,” katanya.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata demikian selepas pihaknya menyerahkan memorandum memohon Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pelampau agama di Istana Alam Shah pada Khamis.

Untuk rekod, tindakan Islamofobia ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar senaskah kitab suci Islam, al-Quran di Stockholm, Sweden telah menerima kecaman dari negara-negara Islam serta pelbagai pihak.

Justeru, satu himpunan daripada gabungan NGO Islam akan menyerahkan memorandum di Kedutaan Sweden pada Jumaat sebagai demonstrasi bersolidariti bagi menyatakan bantahan penghinaan agama Islam oleh ahli politik Sweden itu.

Author

Pilihan Editor