TELUK KUMBAR: Gara-gara rumah dimasuki seekor biawak, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, JBPM Pulau Pinang terpaksa geledah rumah berkenaan bagi membawa keluar haiwan tersebut.
Menurut JBPM Pulau Pinang, kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Kampung Matahari Jatuh, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Komander Operasi PBK II, Isparizan Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan ancaman biawak itu pada jam 8.56 malam tadi.
Susulan itu, pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian dengan menaiki satu jentera LFRT dan satu van unit EMRS.
“Anggota bomba daripada balai tersebut seramai lapan orang telah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
“Setibanya ditempat kejadian didapati benar terdapat ancaman biawak seperti maklumat pemanggil.
“Komander operasi membuat penilaian risiko ditempat kejadian dan mengarahkan anggota Bomba memakai ‘PPE’ dengan lengkap seterusnya menjalankan kerja-kerja operasi menangkap biawak dengan menggunakan penjerut,” katanya seperti dikongsi menerusi hantaran di Facebook Korporat JBPM hari ini.
Maklumnya lagi, haiwan tersebut berjaya ditangkap oleh anggota bomba tanpa sebarang kecederaan dan kemudiannya dilepaskan ditempat habitat asal.