BANGI: Pengarah syarikat rakaman muzik tempatan, Wamo NSG Enterprise (Wamo NSG), Ahmad Wafiuddin A Wasizali berkongsi tips untuk artis kekal dalam industri hiburan negara dan cepat popular berdasarkan pengalamannya yang pernah menguruskan artis popular tanah air.
Beliau yang juga dikenali sebagai Wafi berkata, artis khususnya yang masih ‘hijau’ jangan lari daripada pihak media sebaliknya berani ‘menjual diri’ dan berdepan populariti.
Saranan itu adalah nasihat berharga buat artis dan penyanyi baharu seperti kelompok BBNU (Budak Baru Nak Up) yang sedang mengukir nama di persada seni tanah air terutama di bawah naungan syarikat rakamannya.
Katanya, pengalamannya menguruskan nama besar seperti Zul Ariffin dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, memberi ilham untuk menerapkan nilai baik yang ada pada mereka kepada artis baharu supaya sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada pihak media biarpun dilanda kontroversi.
“Siti Nurhaliza adalah contoh artis terbaik negara yang paling bertahan dalam industri selain mempunyai peminat tegar tidak kira pelbagai lapisan masyarakat malah di luar negara kerana pembawakan diri yang bersih.
“Bersesuaian dengan nama syarikat rakaman yang dibawa NSG (No Alcohol, No Sex, No Drug), saya terapkan kepada artis di bawah syarikat supaya cari media untuk ‘jual diri’ tetapi tanpa kontroversi, imej kena bersih.
“Sebab saya ‘rockers’, dulu rambut panjang tapi tak pernah hadap (kontroversi) macam ini.
“Yang penting, persembahan bergaya dan pencapaian cemerlang dalam bidang diceburi masing-masing,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Katanya, antara artis di bawah syarikat adalah Urban Aubade, Faysal Saad, penyanyi veteran Bintang RTM 1985 iaitu Ahmad Zakaria, Megat Rahim dan penyanyi cilik, Ayesha Moneta.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Single Pertama Faysal Saad, berjudul Saksi di Dewan Mega Glory, Bandar Baru Bangi, di sini.
Faysal Saad adalah artis versatil yang sudah bertapak dalam industri kreatif negara tetapi cuba menembusi pasaran dengan kekuatan vokal balada menerusi lagu Saksi.
Saksi lahir hasil daripada kerjasama penulis lirik Nadhirah Saad dan komposer, Arean Patriot Band ditujukan kepada semua mangsa COVID-19.
Ia mengisahkan penderitaan seorang lelaki menjadi saksi ketika dunia berdepan pandemik COVID-19, pada masa yang sama kehilangan isteri tercinta akibat wabak berkenaan, yang diinspirasi untuk bapa tunggal mengharungi liku hidup tanpa isteri di sisi.