CYBERJAYA: Meskipun memiliki IQ tinggi dan cemerlang dalam akademik, ia belum pasti dapat menjamin seseorang itu akan menjalani kehidupan yang bersih.
Mana tidaknya, sehingga kini masih ramai golongan cerdik pandai yang terjebak dalam kancah penagihan dadah.
Bahkan, ada antara mereka mempunyai gelaran Doktor Falsafah (PhD) serta memiliki kelulusan dalam bidang profesional dari pelbagai universiti terkemuka dalam dan luar negara.
Baru-baru ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan wujudnya ramai golongan penagih baru membabitkan golongan pintar dan berpendidikan tinggi.
Jurucakap AADK berkata, berdasarkan pengumpulan data dilakukan suku pertama tahun lalu, seramai 487 individu ditahan adalah kalangan individu memiliki ijazah manakala 22 individu adalah pemegang ijazah sarjana (Master) serta PhD.
“Mengikut pecahan, tangkapan merangkumi seramai sembilan penagih berkelulusan Master atau PhD di Selangor diikuti tiga penagih di Negeri Sembilan, dua penagih PhD di Kelantan, manakala masing-masing seorang penagih PhD di Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
“Semua mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah sama ada dadah sintetik mahupun dadah konvensional seperti ganja dan heroin.
“Manakala bagi golongan penagih yang memiliki taraf pendidikan ijazah, negeri Selangor mencatatkan jumlah teramai iaitu 107 individu diikuti Johor (41 individu), Sabah (35 individu), Kedah dan Perak (33 individu) dan Kelantan (31 individu),” katanya seperti dilapor Harian Metro pada Khamis.
Katanya, AADK turut mendapati 2,305 lagi individu ditahan adalah kalangan pemegang diploma dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Maklumnya, bilangan penagih yang memiliki diploma paling ramai ditahan membabitkan negeri Selangor diikuti Johor (217 individu), Terengganu (187 individu), Kelantan (189 individu) dan Kedah (165 individu).
Selain itu data menunjukkan 595 penagih dadah adalah kalangan individu yang mempunyai taraf pendidikan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 40,330 penagih berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 33,758 penagih memiliki kelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Statistik sama turut memaparkan seramai 9,906 penagih dadah terdiri dalam kalangan individu yang hanya menghabiskan pendidikan di peringkat sekolah rendah.
“Justeru itu segala usaha diberikan AADK kepada ‘klien’ (penagih mendapatkan rawatan) melalui pelbagai modul berkesan termasuk Model i-Pulih AADK yang juga salah satu komponen penting dalam Modal Sosial ditekankan AADK,” ujarnya.