SETAPAK: Seorang wanita terkejut apabila anaknya yang berusia lima tahun menunjukkan kepadanya sekeping biskut bentuk muka babi dari balang yang dibeli dari sebuah farmasi.
Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Rina Azi berkata, anaknya sudah menghabiskan biskut berkenaan yang tiada cop halal atau non halal, hampir separuh balang sebelum sedar biskut yang dimakannya bentuk muka babi.
“Balang itu menggunakan gambar luar arnab warna merah jambu dan ketika diambil dari atas rak tiada satu menunjukkan ia tidak halal.
“Ia diletakkan sebaris biskut-biskut untuk makanan bayi dan kanak-kanak lain.
“Saya amat terkejut, anak sudah makan separuh balang dan baru sedar perkara ini.
“Walaupun mungkin kandungannya halal tetapi bentuk muka babi berkenaan amat menyentuh sensitiviti orang Islam.
“Ia amat mengelirukan kerana dalam balang itu turut dicampur biskut dengan bentuk perempuan, beruang, singa, badak, monyet, harimau, arnab, tikus, anjing dan babi.
“Dengan bercampur semua bentuk itu, kanak-kanak tidak akan sedar bahawa ada bentuk babi di dalamnya, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Wanita itu kemudian mengadukan perkara itu kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan MEDIA VARIASI untuk siasatan lanjut.


Dalam pada itu, MEDIA VARIASI menjalankan siasatan ke atas dua cawangan farmasi berkenaan namun hanya menemuinya di Medan Idaman, Setapak.
Penulis mendapati ia diletakkan di atas rak yang sama biskut lain tanpa ada sebarang tanda ‘non halal’ dan penulis telah membelinya untuk siasatan lanjut.
Dengan gambar iklan arnab di balang berkenaan, ternyata tiada siapa menyangka biskut di dalamnya bentuk babi.
Ia diperbuat dari Taiwan dan diedarkan oleh sebuah syarikat makanan di Damansara.
Sehubungan itu, dinasihatkan orang ramai yang beragama Islam berhati-hati jika membeli produk seperti ini dan pastikan ada cop halal bagi mengelakkan sebarang keraguan.