TELUK KUMBAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pulau Pinang tampil memberi bantuan khidmat mengangkat seorang lelaki obes yang mengalami sesak nafas untuk di bawa ke hospital, tengah malam semalam.
Komander Operasi Penguasa Kanan II, Isparizan Ishak berkata, Balai Bomba Penyelamat Seri Balik Pulau menerima panggilan bantuan pada jam 12.15 tengah malam lantas menggerakkan sembilan anggota bertugas ke rumah pesakit di Taman Emas, Sungai Batu, Teluk Kumbar.
“Pesakit merupakan seorang lelaki dewasa yang mempunyai berat badan 180 kg, mengalami sesak nafas di rumah serta tidak dapat bangun dan berjalan.
“Beliau memerlukan bantuan untuk mengangkatnya dari tingkat 1 dan di bawa turun ke kawasan parkir menggunakan laluan tangga.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan ‘PPE’ dengan lengkap sebelum mengangkat pesakit menggunakan peralatan ‘canvas’ dan ‘spine board’,” maklumnya pada Isnin.
Susulan itu, pihak bomba berjaya mengangkat dan membawa turun pesakit dengan selamat dan telah dihantar ke hospital berhampiran dengan menaiki ambulans bagi menerima rawatan lanjut.