HomeNiagaBSN perkenal kategori baharu cabutan SSP untuk B40, guru

BSN perkenal kategori baharu cabutan SSP untuk B40, guru

SETIAWANGSA: Sejak Cabutan Istimewa Bank Simpanan Nasional (BSN), Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) diperkenalkan sudah 83 jutawan segera dilahirkan termasuk pendeposit berusia 17 tahun.

Pembuka tahun 2023, BSN sekali lagi mengumumkan Cabutan Jutawan akan diadakan setiap bulan dengan tambahan pemenang sehingga 18,000 orang berbanding 16,000 tahun lalu dengan tawaran hadiah keseluruhan RM27 juta.

Namun apa yang menarik, beberapa kategori baharu cabutan khas sebagai membantu golongan B40 iaitu Cabutan Kasih diperkenalkan tahun ini.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata, Cabutan Kasih untuk pelanggan berpendapatan rendah dan juga penerima bantuan dari kerajaan yang menyimpan di BSN.

“BSN amat hargai pelanggan yang sudah lama menyimpan, ada yang lebih 20 tahun, kami akan kekalkan hadiah, pelbagaikan kategori pemenang.

“Selain itu, terdapat juga Cabutan Guru, saya ucapkan terima kasih kepada guru-guru yang banyak beri sokongan kepada BSN.

“BSN juga menawarkan Cabutan Wilayah, Cabutan Penyimpan Muda, Cabutan Kesetiaan, Cabutan Penyimpan Baharu, Cabutan Akaun Gaji, Cabutan Kasih dan Cabutan Simpanan Konsisten yang menawarkan hadiah hingga jutaan ringgit,” katanya kepada media selepas mengumumkan Cabutan Jutawan bulan Disember tahun lalu.

Pembantu restoran, Wan Nur Qurratuain Wan Ishamuddin, 19, diumumkan sebagai jutawan membawa pulang RM1 juta.

Selain itu, bekas wartawan Berita Harian, Jamudin Idris membawa pulang RM50,000 dan juruwang Khaireen Yasmeen Kamaruzaman, 20, membawa pulang sebuah Perodua MyVi.

Tambahnya, Cabutan Jutawan November Khas kepada pelanggan setia yang telah menyimpan sekurangnya 20 tahun dan membuat tambahan simpanan minimum RM3, 000 pada tahun 2023.

“BSN turut perkenalkan Cabutan Jutawan dimana BSN bukan sahaja menawarkan hadiah BSN SSP RM1 juta, malah pemenang juga bakal bawa pulang BMW X5.

“Selain itu, BSN masih menawarkan hadiah seperti kereta mewah BMW X5, BMW 320i M Sport, kereta Myvi dan pelbagai hadiah lumayan lain.

“Sehingga Disember 2022, seramai 4.4 juta pendeposit SSP dengan jumlah simpanan sebanyak RM5 bilion, ” katanya.

 

Author

Pilihan Editor