HomeBeritaBung Mokhtar letak jawatan Presiden Safa, mahu fokus karier politik

Bung Mokhtar letak jawatan Presiden Safa, mahu fokus karier politik

CYBERJAYA: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, peletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya sendiri di samping mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap karier politik.

Menurutnya, surat peletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung Safa dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

Mengulas isu berkenaan prestasi pasukan Sabah FC, Bung Mokhtar mengakui dirinya sedikit kecewa dengan pencapaian turun naik pasukan tersebut.

Bagaimanapun, beliau percaya pasukan telah berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.

“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran Safa dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ia masih di tahap yang masih belum memuaskan.

“Mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan daripada semua pihak terutama daripada peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu Safa khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tambah beliau, sejak mengambil alih tampuk pentadbiran Safa, tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di negeri itu.

“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya,” ujarnya.

Untuk rekod, Bung Mokhtar yang juga merupakan Ahli Dewan Parlimen Kinabatangan telah memegang tampuk pentadbiran badan induk berkenaan sejak Jun 2021.

Sebelum itu, pada Disember 2020 ahli majlis tertinggi Safa sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai pemangku Presiden Safa dan disahkan sebagai Presiden Safa menerusi mesyuarat agung luar biasa Safa pada Jun 2021.

Author

Pilihan Editor