HomeMV+PendapatDemokrasi Zahid ibarat keris menikam dirinya balik

Demokrasi Zahid ibarat keris menikam dirinya balik

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa mengamalkan demokrasi atau keterbukaan bagi sesiapa untuk memberi pandangan dan kritikan.

Beliau turut memaafkan 10 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) termasuk partinya yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Terdahulu, beliau turut memaafkan semua pihak yang pernah melontarkan pelbagai tohmahan serta cacian terhadapnya sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bagan Datuk ini mahu semua pihak maju ke hadapan membangunkan negara dan memberi tumpuan kepada rakyat serta tidak lagi menoleh ke belakang.

Beliau juga beri peluang kepada ahli UMNO yang jelas tidak menyukainya seperti Khairy Jamaludin (KJ) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Zahid juga memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan terlibat dalam gerakan London Move untuk menjatuhkannya, sebagai ‘poster boy’ PRU15.

Malah berulang kali menyatakan pendiriannya memilih Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN menang pada PRU15.

Begitulah sikap demokrasi Zahid terhadap semua, sama ada mereka suka atau benci beliau tetap tegar meneruskan khidmat sebagai pemimpin.

Amat jauh sekali jika hendak dibandingkan zaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersifat diktator tiada pertandingan atau undian mahu atau tidak diadaka pertandingan jawatan Presiden.

Zahid tetap mengamalkan demokrasi dengan membuka undian mahu atau tidak diadakan pertandingan pada Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau akur undian terbanyak termasuk dari Ismail Sabri sendiri yang berdiri menyokong agar tidak mengadakan pertandingan.

Namun demokrasi Zahid umpama memberi keris UMNO kepada musuh untuk menikam dirinya balik.

Walaupun memberi sokongan di dalam dewan, namun segelintir bersikap seperti sesumpah berubah warna apabila keluar dewan.

Ismail Sabri berpendapat kesahihan langkah parti itu membawa dan menerima usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga mendakwa wujudnya perwakilan import berkenaan bagi memastikan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, diluluskan dalam PAU 2022.

Broker-broker Perikatan Nasional (PN) ini tidak putus melaungkan mahu melakukan reformasi BN namun mereka lupa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum pulang ke Malaysia sejak siasatan RM92 bilion dilakukan.

Persoalan yang timbul di sini, adakah reformasi yang mereka laungkan ikhlas untuk parti keramat tertua di Malaysia, ataupun untuk memastikan kelangsungan ‘poket’ sendiri?

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor