HomeGaya HidupJom MakanDisleksia tetapi sempurna, bawa tuah kafe

Disleksia tetapi sempurna, bawa tuah kafe

BANGI: Sesuatu ujian yang berlaku sebenarnya membawa hikmah dan ujian jika kita menerimanya seikhlas hati sebagai ketetapan Tuhan.

Ujian Tuhan kepada hambaNya datang dalam pelbagai bentuk sama ada ujian kewangan, hubungan keluarga atau mungkin diuji dengan isu kesihatan.

Sebuah kafe yang mensajikan hidangan makanan barat, Asia, pastri dan kopi dikenali sebagai Kafe Dyslexia bertempat di Bandar Baru Bangi mula tular sejak November lalu mula beroperasi.

 

Mana tidaknya, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut kelihatan singgah menikmati makanan di kafe berkenaan, tiga hari lalu.

Pengasas dan pemilik bersama Dyslexia Cafe, Amer Adham Kamaruddin (tengah), adiknya Amer Aiman (kanan), rakan Abdul Qhaliq Al-Azfari Muhammad Azharuddin (kiri) dan ibu mereka, Nor Haslinda Hanafiah (belakang)

Bagi pengasas dan pemilik bersama Kafe Dyslexia, Amer Adham Kamaruddin, 22 yang di diagnos disleksia sejak usianya sembilan tahun iaitu penyakit lambat dalam pembelajaran tidak menjadikannya satu kekurangan.

Sebaliknya, ujian itu dilihat sebagai anugerah Ilahi untuk memperoleh rezeki lebih banyak dalam membantu keluarganya.

Untuk rekod, penghidap disleksia secara luaran tampak seperti orang normal namun, golongan ini berdepan masalah dari aspek pelajaran seperti lambat membaca, menulis, mengira sebagaimana golongan normal lain.

MEDIA VARIASI berpeluang menemubual Amer Adham yang menceritakan idea membuka kafe berkenaan bermula daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

“Saya, adik Amer Aiman dan rakan Abdul Qhaliq Al-Azfari Muhammad Azharuddin, ada kemahiran memasak dan mula berniaga kecil-kecilan dari rumah.

“Kami terkejut melihat sambutan luar biasa dan peningkatan permintaan saban hari sehingga idea untuk membuka kafe ini timbul.

“Nama Dyslexia kemudian diberi oleh ibu saya yang yakin ia membawa tuah. Pada awalnya saya tak setuju tetapi kerana yakin semua ibu cakap betul, jadi saya teruskan.

“Memang betul nama ini bawa tuah, baru sahaja buka terus viral daripada kira-kira 60 pelanggan kini capai tiga kali ganda sehari dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Amer Adham berkata demikian ketika ditemui di kafenya.

Nor Haslinda Mohd Hanafiah dan Shaharom, ibu dan bapa Amer Adham dan Amer Aiman kelihatan turut berada di kafe melayani pelanggan yang datang.

Antara juadah yang terdapat di Dyslexia Cafe, Bandar Baru Bangi

Amer Adham juga berkata, dia mahu mereka yang senasib dengannya lebih mengutamakan potensi diri dan tidak mempedulikan kata-kata negatif kerana itu adalah kata kunci diri untuk terus bangkit berjaya.

“Kami sebenarnya pernah mengimpikan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh seperti MRSM, tetapi nasib tidak sama dengan orang lain yang normal.

“Jadi, kami tukar kepada kekecewaan itu kepada terus bangkit dan berusaha membuktikan disleksia ini juga mampu berjaya sebagaimana orang normal lain,” katanya.

Amer Aiman pula menasihati golongan ini supaya mengambil contoh mereka yang berjaya sebagai inspirasi dalam bidang masing-masing untuk turut berjaya.

“Pelakon Hollywood, Tom Cruise dan penyanyi rap Malaysia seperti Altimet pun ada disleksia tetapi mereka berjaya mengatasi kekurangan dengan kejayaan masing-masing,” katanya.

Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak disleksia juga perlu lebih memahami potensi diri anak mereka, bukan memberikan stigma gagal supaya diasah untuk berjaya.

“Ini kerana, mereka sebenarnya insan istimewa yang membawa lebih banyak perkara positif dalam kehidupan akan datang,” katanya.

Kafe Dyslexia dengan bangunan lima tingkat itu kini mempunyai kira-kira 15 pekerja yang mempunyai kepakaran dan pengalaman hebat termasuk insan yang menghidap disleksia, Abdul Qhaliq Al-Azfari Muhammad Azharuddin, 25.

Menu paling laris di kafe adalah kek Pengat Pisang Keju dan ‘Strawberry Brownies Keju’, piza dengan saiz 18 inci, selain ‘mocktail‘ (minuman campuran) seperti Aurora dan Secret Garden.

Author

Pilihan Editor