HomeBeritaDua pelajar UiTM Rembau maut, libat kemalangan langgar tiang TM

Dua pelajar UiTM Rembau maut, libat kemalangan langgar tiang TM

REMBAU: Dua orang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabit kemalangan di Kilometer 2, Jalan Kundur-Pilin, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu membabitkan mangsa, Muhammad Adib Roszaidi, 21, dan Muhammad Aiman Roslee, 21, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, seorang lagi pelajar yang juga pembonceng motosikal, Muhammad Faiz Ilham Abdul Jalal, 21, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban selepas mengalami kecederaan parah.

Tambah beliau, kemalangan membabitkan dua buah motosikal iaitu motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh Muhammad Adib dan motosikal jenis Honda yang ditunggang oleh Muhammad Aiman bersama seorang lagi pembonceng.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati, Muhammad Adib menunggang motosikal dari arah Kundur menghala ke Pilin. Sampai di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan dan terbabas serta melanggar tiang Telekom Malaysia (TM) dan menyebabkan tiang tersebut patah lalu jatuh melintang di atas laluan.

“Kemudian datang motosikal yang ditunggangi Muhammad Aiman bersama pembonceng dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu hilang kawalan dan terbabas di tempat kejadian,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Maklum Hazri, susulan kejadian itu, kedua-dua penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-duanya telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor