KUANTAN: Dua peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif pengambilan pekerja Program Penjana Kerjaya 1.0 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM43,600, tiga tahun lepas.
Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R P Mohd Ibrahim, 62, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkeso Temerloh pada 5 dan 6 Oktober 2020.
Mereka didakwa dengan niat bersama mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu 17 pekerja, bagi mendapatkan insentif bernilai RM27,200 sedangkan senarai nama pekerja berkenaan tidak pernah memohon bekerja di syarikat katering itu.
Bagi pertuduhan pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan yang sama dengan mengemukakan 10 nama bukan pekerja di syarikat itu, bagi mendapatkan bayaran RM16,400 daripada Perkeso.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 seorang, dengan syarat tambahan pasport kedua-dua mereka diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun peguam yang mewakili Arabath Ali, N Venugopal memohon jaminan minimum diberikan kerana tertuduh perlu menyara keluarga termasuk empat anak, manakala R Maran yang mewakili Mohmmed Ismail turut meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan anak selain ibu sedang uzur, serta pendapatannya sebagai peniaga kecil hanya RM3,000 sebulan.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 seorang selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan 27 Februari ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen. – BERNAMA