HomeBeritaEnam keluarga mangsa kebakaran dapat rumah bernilai RM66,000

Enam keluarga mangsa kebakaran dapat rumah bernilai RM66,000

BAGAN DATUK: Enam keluarga mangsa kebakaran yang turut membabitkan seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) rentung di Jalan Bagan Ikan, di sini, minggu lalu, akan menerima rumah baharu bernilai RM66,000 setiap satu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid baru-baru ini membuat tinjauan di lokasi kebakaran tersebut.

Dalam tinjauan itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terkesan.

“Luluh hati melihat keadaan rumah terbakar di Bagan Ikan yang telah memusnahkan enam buah rumah minggu lalu dan seorang lelaki warga emas turut terkorban setelah terperangkap di dalam rumah.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka semua sedang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Semoga bantuan ini dapat segera membantu keluarga yang terkesan,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau, setiap rumah berkenaan berkeluasan 660 kaki persegi.

Untuk rekod, pada 16 Januari lalu, dalam kejadian kebakaran, mangsa, Ong Chock Seng, 80 tahun, yang juga pengguna kerusi roda gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran pada kira-kira 6.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, Ong ketika itu bersendirian sementara anak dan cucunya keluar sarapan.

Author

Pilihan Editor