WASHINGTON: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menemukan enam lagi dokumen sulit ketika pencarian dilakukan di rumah Presiden Joe Biden di Wilmington, Delaware, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan peguam peribadi presiden.
Menurut Bob Bauer, kerja-kerja pencarian itu mengambil masa hampir 13 jam dan turut menemukan nota tulisan tangan ketika Biden menjadi naib presiden dan telah diambil untuk “semakan lanjut.”
Enam dokumen itu tambahan kepada rekod sulit kerajaan yang ditemukan di pejabat dan di rumah persendirian Biden sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Kelompok pertama dokumen ditemukan pada 2 November di Penn Biden Centre di Washington, D.C diikuti dengan penemuan dokumen sulit tambahan pada 20 Disember di garaj Biden dan kemudian di rumahnya di Delaware.
Dokumen itu dilaporkan termasuk memo perisikan AS dan bahan taklimat bertarikh antara 2013 dan 2016 berkaitan Ukraine, Iran dan United Kingdom.
Peguam Negara, Merrick Garland minggu lalu mengumumkan pelantikan peguam khas untuk menyiasat dokumen sulit yang ditemukan itu.
Rumah Putih kini menerima tekanan hebat daripada Republikan dan media kerana tidak mendedahkan dokumen itu telah ditemukan sebelum pilihan raya. – BERNAMA