TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM2 juta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini pada 5 Januari lepas, dipercayai rampasan terbesar di Pahang setakat ini.
Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, rokok yang dianggarkan bernilai RM258,800 dengan duti dan cukai lebih RM1.9 juta itu ditemukan selepas pihaknya memeriksa sebuah lori di kawasan letak kenderaan di hentian berkenaan arah Barat pada pukul 8.30 pagi.
“Susulan penemuan itu, seorang lelaki berumur 56 tahun yang dipercayai pemandu kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM di sini hari ini.
Lori itu dipercayai tiba dari sebuah negeri di pantai timur, dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur untuk mengedar barang seludup berkenaan. – BERNAMA