HomeBeritaKekangan masa jadi punca tiga peguam Siti Bainun tarik diri

Kekangan masa jadi punca tiga peguam Siti Bainun tarik diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menyaksikan tiga peguam bela mewakili kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menarik diri.

Tiga peguam itu ialah Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor.

Mohamad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis pada Jumaat lalu manakala Nur’Aminahtul membuat permohonan menarik diri secara terbuka di mahkamah hari ini.

Hakim, Izralizam Sanusi berkata, perkara itu tidak wajar berlaku kerana tarikh sudah ditetapkan dan dipersetujui semua pihak lebih awal dan mereka mempunyai masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya mempunyai sebarang masalah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga permohonan peguam bela Siti Bainun untuk menarik diri diterima mahkamah meskipun tindakan terbabit menjejaskan kelancaran perbicaraan kes itu yang tertangguh beberapa kali.

“Bagi peguam Nur’Aminahtul adalah menjadi tugas mahkamah meneliti permohonan itu (tarik diri), namun pada akhirnya itu adalah hak peguam itu sendiri.

“Dalam rekod mahkamah masih lagi ada baki peguam mewakili kamu (Siti Bainun) belum buat permohonan iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil, jadi saya perlu minta mereka nyatakan pendirian dan saya hendak penjelasan mereka.

“Saya tangguhkan (perbicaraan) esok untuk mengetahui status peguam sama ada kamu mencari peguam baharu menggantikan Nur’Aminahtul atau kekalkan Nurul Hafidzah dan Asiah,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.

Sementara itu, Siti Bainun berkata, dia hanya mengetahui isu peguam belanya menarik diri pagi tadi.

“Saya faham Nur’Aminahtul ada beritahu saya tentang kekangan masa dan jadual peguam lain (bertindih) tetapi kita tidak dimaklumkan mengenai isu peguam tarik diri hari ini.

“Saya akan cuba mendapatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau meminta bantuan Nur’Aminahtul mencari peguam lain,” katanya.

Terdahulu, ketika hakim Izralizam meminta penjelasan faktor permohonan itu dikemukakan pada saat akhir, Nur’Aminahtul menjelaskan, pihaknya berpendirian tidak akan mewakili Siti Bainun kerana kekangan masa selain pembahagian tugasan sudah dibuat.

Untuk rekod, Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Author

Pilihan Editor