KLUANG: Kemunculan dua ekor gajah di Taman Perdana, di sini, malam tadi, mencetuskan kebimbangan kira-kira 2,000 penduduk berhampiran.
Warga emas M Pavayee Ammah, 83, berkata, dia menyedari kemunculan gajah dewasa dan anak gajah itu setelah mendengar bunyi bising seolah-olah bunyi rempuhan di luar kediamannya.
Katanya, dia melihat di balik pintu dan ternampak dua ekor gajah telah merempuh pagar rumah selain melihat penduduk sekitar cuba menghalau kedua-dua ekor binatang itu ke hutan berhampiran.
“Saya terus menggigil ketakutan apabila melihat gajah berkenaan berada di halaman rumah, selain turut terdengar jeritan penduduk agar saya tidak keluar rumah.
“Saya difahamkan gajah berkenaan sebelum itu telah memasuki kawasan tanaman berhampiran sebelum dihalau penduduk dan kemudiannya ke kawasan perumahan di sini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk M. Alangovan, 67, bimbang dengan kehadiran haiwan itu yang kerap muncul, akhir-akhir ini.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Johor, Aminuddin Jamin mengesahkan kejadian dua ekor gajah memasuki taman perumahan itu kira-kira 9.30 malam tadi.
Beliau berkata, mamalia itu dipercayai terpisah daripada kumpulannya dan pihaknya sudah mengambil tindakan awal dengan menghalau gajah berkenaan ke hutan berhampiran yang terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan perumahan itu.
Katanya, pemantauan akan terus dilaksanakan dengan menggunakan dron bagi memastikan gajah tersebut kembali ke habitat asal serta tidak tersasar dengan memasuki kawasan penempatan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 26 saat di media sosial yang memaparkan dua ekor gajah memasuki kediaman di Taman Perdana, Kluang. – BERNAMA