KUALA LUMPUR: Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali mendedahkan seorang lelaki sanggup menceraikan isteri hanya disebabkan keputusan mahkamah tidak menyebelahinya bagi permohonan poligami.
Menerusi hantaran Facebooknya, Suzana menceritakan wanita tersebut membuat janji temu dengan beliau bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah rumah tangga yang dihadapi.
“Dek kerana suami nak poligami, isteri minta suami mohon di Mahkamah Syariah.
“Keputusan tidak menyebelahi suami, maka suami ambil keputusan untuk ceraikan isteri pertama yang sudah punya empat cahaya mata sebab tetap nak bersama bakal isteri baharu.
“Macam yang selalu saya katakan, dah kalau jantan dah ada hasrat (poligami), hakim sahkan tak layak pun tetap nak juga,” tulisnya.
Berkongsi kisah kedua, Suzana berkata, seorang isteri mengadu kepadanya bahawa suaminya tidak akan mengampunkannya jika permohonan poligami dihantar ke mahkamah ditolak.
“Kata suami, kalau saya tak setuju dengan permohonan poligami yang dia hantar ke mahkamah dan sebab itu permohonan dia ditolak, suami takkan ampunkan saya dan takkan reda saya sampai bila-bila,” katanya.
Menerusi hantaran terbaharu, Suzana mengingatkan bahawa perkahwinan tidak menjadikan suami sebagai raja, juga tidak menukarkan isteri menjadi hamba.
“Hikmah perkahwinan menurut syariat menetapkan perkahwinan sepatutnya memberikan kebahagiaan untuk suami dan isteri.
“Perkahwinan juga untuk suami dan isteri laksanakan tanggungjawab masing-masing yang tersendiri di samping tanggungjawab bersama.
“Bahagia akan diperoleh jika ikhlas menyayangi, tanggungjawab dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh suami dan isteri sama-sama usaha berikan yang terbaik, penuh toleransi dan wujudkan komunikasi unggul.
“Sukar bahagia tanpa kasih yang ikhlas walau tanggungjawab dilaksana.
“Tak mungkin juga wujud bahagia andai hanya ada cinta tanpa rasa tanggungjawab,” tulisnya.