HomePendidikanMajlis graduasi ala 'universiti' rai 489 calon SPM SMK Kota Kemuning

Majlis graduasi ala ‘universiti’ rai 489 calon SPM SMK Kota Kemuning

SUBANG JAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning meraikan dan menyuntik semangat 489 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mengadakan majlis graduasi ala ‘universiti’ di Hotel Summit, USJ hari ini.

Mereka daripada 646 calon keseluruhan yang bakal menduduki peperiksaan pada 30 Januari ini.

Turut diraikan pelajar cemerlang semasa Peperiksaan Percubaan SPM yang lalu.

Pengetua SMK Kota Kemuning, Mohd Fauzi Zailan berkata, majlis ini sebagai perangsang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang akan diceburi.

“Mengenakan jubah konvokesyen, naik ke pentas, makan tertib di hotel serta bergambar bersama rakan dan guru sebelum tamat pelajaran pasti meninggalkan memori indah.

“Suasana pra universiti bagi menyuntik semangat mereka untuk berusaha sedaya mungkin sebelum masuk ke dewan peperiksaan SPM nanti.

“Dalam SPMC 2022 yang lalu, seramai 53.87 peratus murid lulus dengan murid mendapat semua A seramai empat orang, manakala 6A ke atas seramai 62 orang.

“Untuk tahun 2022, kami mensasarkan seramai 120 orang murid mendapat sekurang-kurangnya 6A dan ke atas berbanding 118 orang murid pada tahun 2021.

“Kami sangat yakin dengan sasaran ini memandangkan terdapat peningkatan jumlah murid yang mendapat 6A.

“Terdapat lebih kurang 42 orang murid yang mendapat 4A dan 5A berpotensi melonjakkan pencapaian mereka kepada 6A dan ke atas, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Syed Nasir (tengah) meluangkan masa dengan memakai jubah graduasi sambil bergambar pada Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Kota Kemuning bertempat di Hotel Summit USJ, Subang Jaya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 489 calon SPM di Majlis Graduasi SMK Kota Kemuning di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Lautan Variasi, Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer.

Turut hadir, Rajan Apavoo, wakil PIBG SMK Kota Kemuning.

Syed Nasir menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar sains cemerlang pada Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Kota Kemuning bertempat di Hotel Summit USJ, Subang Jaya.

Sementara itu, Syed Nasir menasihati calon SPM agar berusaha untuk memperolehi keputusan yang cemerlang.

“Keputusan peperiksaan SPM yang diperolehi adalah tiket yang akan melayakkan seseorang pelajar untuk memasuki universiti, iaitu sebuah tempat yang menjadi cita-cita kita semua sejak mula melangkah ke alam persekolahan.

“Di universiti anda akan meneruskan pengajian sama ada pada peringkat diploma mahupun ijazah, kemudiannya ke peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang tertentu.

“Bagi pelajar-pelajar yang sangat cemerlang mereka akan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti ternama di luar negara serta mendapat penajaan pengajian sama ada oleh pihak kerajaan ataupun pihak swasta.

“Sesetengah daripada mereka yang ditaja akan terus ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian, dan inilah yang sepatutnya menjadi fokus pelajar,” katanya.

Beliau turut mendoakan semua calon SPM SMK Kota Kemuning dapat menjawab soalan peperiksaan nanti dengan tenang dan baik.

 

Author

Pilihan Editor