HomeBeritaMangsa ditipu 'ustazah kontroversi', sila buat laporan polis - KPN

Mangsa ditipu ‘ustazah kontroversi’, sila buat laporan polis – KPN

CYBERJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan ustazah kontroversi yang memperalatkan perubatan sunah diminta tampil membuat laporan polis.

Katanya, dengan membuat laporan polis itu dapat memudahkan pihaknya untuk meneliti dan menjalankan siasatan.

“Jadi saya minta mereka yang menjadi mangsa penipuan itu dan mengalami kerugian diminta membuat laporan polis.

“Siasatan secara telus akan dijalankan berkaitan laporan polis yang diterima,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang bergelar ustazah didakwa memanipulasi perubatan sunah demi kepentingan diri.

Susulan itu, Khidmat Guam sedang mengumpul dan meneliti bukti berkaitan wanita terbabit.

Pengarah Advokasinya, Mahmud Jumaat berkata, berdasarkan pertemuan dengan pengadu sebelum ini, pihaknya mendapati wujud unsur penipuan dilakukan wanita yang sering mengundang kontroversi itu termasuk ugutan dan transaksi wang dalam jumlah yang besar.

Hanya dengan melihat gambar lidah dan tubuh ketika sesi rawatan mampu mengenal pasti tahap penyakit seseorang sama ada kronik atau sebaliknya, selain kononnya boleh berubat secara jarak jauh dengan hanya mengikut arahan.

Malahan, ustazah berkenaan turut didakwa mampu merawat penyakit pengikutnya secara sunah tanpa perlu pergi ke hospital serta menerima rawatan perubatan moden yang dianggapnya beracun dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Wanita itu turut dikatakan dapat mengubat pesakit dengan hanya menyentuh dan memeriksa tubuh serta mampu mengenal pasti penyakit dihadapi mereka sebelum mempromosikan ubat sunnah dengan jualan harga tidak masuk akal.

Bagaimanapun, masih ada pengikut yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli ubat-ubatan ididakwa mengikut sunnah berkenaan.

Difahamkan, pengikut wanita terbabit yang menyertai kumpulan aplikasi Telegram bagi mempromosi perubatan sunnah kini mencecah 3,000 orang dan ada dalam kalangan mereka bergelar doktor, guru dan sebagainya.

Author

Pilihan Editor