HomeBeritaNUFAM bimbang keselamatan pekerja penerbangan, kru kabin

NUFAM bimbang keselamatan pekerja penerbangan, kru kabin

SEPANG: Kemasukan pelancong dari China yang dijadualkan pada 8 Januari nanti juga membimbangkan pekerja industri penerbangan khususnya kru kabin dan pekerja di lapangan.

Justeru itu, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menyatakan kebimbangan mereka dari aspek keselamatan kesihatan pekerja di industri itu.

NUFAM mengesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan SOP bagi pekerja di dalam industri penerbangan terutama sekali pekerja kru kabin.

Sekretariat kesatuan NUFAM berkata, sudah tiba masanya untuk pihak KKM mengeluarkan satu SOP baharu bukan sekadar terhadap penumpang malah keutamaan harus diberi kepada pekerja penerbangan.

“Apabila pembukaan penerbangan bagi pelancong dari China pada 8 Januari ini, ramai ahli kesatuan kami masih dalam keaguan dan ada yang bertanya adakah SOP baharu diperlukan buat mereka yang bekerja terutama sekali dalam penerbangan keluar masuk ke negara China.

“Jika keperluan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan ke negara yang mempunyai kes tinggi, KKM harus memberi penjelasan mengenai SOP baharu bukan hanya kepada penumpang tetapi juga kepada pekerja di lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, pada amnya, pemakaian pelitup muka perlu dilaksanakan bagi mereka yang berdepan dengan penumpang terutama sekali dari luar negara.

“Walaupun kes sudah reda di dalam negara, tetapi ada laporan menyatakan ia telah merebak ke negara lain.

“Kita tidak mahu mendengar masalah atau aduan teguran dari pekerja mengenai pengurusan mereka meletak syarat sendiri mengenai pemakaian pelitup muka.

“NUFAM tidak mahu ada pekerja pula yang terkesan dengan kes COVID-19 apabila mereka tidak boleh bekerja dan akhirnya terpaksa dikuarantinkan di rumah.

“Kru kabin juga akan kehilangan pendapatan bulanan mereka jika mereka terpaksa dikuarantin.

“SOP untuk pekerja harus juga lebih jelas atas usaha untuk mengelak sebarang jangkitan berlaku di tempat kerja,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor