HomeHiburanPakaian seksi itu pakaian biasa ke pulau - Penerbit Pulau

Pakaian seksi itu pakaian biasa ke pulau – Penerbit Pulau

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbit filem Pulau, WebTVAsia menjelaskan pakaian pelakon yang dikatakan seksi itu sebenarnya adalah pakaian biasa dipakai jika ke pulau.

Memetik MalaysiaKini, pengasasnya Fred Chong berkata, pemakaian pelakon pula hanyalah pakaian seperti biasa oleh mana-mana individu yang pergi bercuti ke pulau.

“Pemakaian pelakon pula adalah bertepatan dengan cara pemakaian di pulau.

“Orang ramai tidak wajar untuk menghukum filem itu hanya berdasarkan klip promosi yang dipaparkan sebelum menonton filem penuh.

“Apa yang dilihat melalui treler tersebut cuma satu peratus daripada keseluruhan kandungan filem. Jadi saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem penuh yang bakal keluar pada 9 Mac ini,” katanya.

Terdahulu, treler filem tersebut hangat diperkatakan apabila didakwa mempunyai unsur lucah, pelakon berbikini dan ‘soft porn’ serta tidak sesuai ditayangkan di Malaysia.

Malah, ada yang mempersoal bagaimana filem itu mampu melepasi saringan Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana mengandungi kandungan yang didakwa tidak bersesuaian seperti watak lelaki tidak berbaju, wanita berbikini serta babak berpelukan

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membantah kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau oleh LPF.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, filem tersebut amat sekali tidak sesuai ditonton awam ekoran terdapat banyak adegan tidak senonoh menerusi treler filem yang tular di media sosial.

“Jadi, kita minta LPF menyemak semula kelulusan yang diberi. Mapim membantah sebarang bahan media yang menonjolkan unsur kelucahan melampau. ini bercanggah dengan Rukun Negara berkenaan kesopanan dan ketatasusilaan,” katanya dalam kenyataan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataanya memaklumkan tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md. Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa LPF.

Author

Pilihan Editor