HomeBeritaPelancaran lagu 'Yes Sir' kobarkan semangat filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang

Pelancaran lagu ‘Yes Sir’ kobarkan semangat filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang

SHAH ALAM: Lagu tema filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ berjudul ‘Yes Sir’ nyanyian Zamani dan Ariff Peter yang dilancarkan di Stesen Udara Maritim Subang pada Selasa, pasti menjadi siulan ramai.

Perkara itu berikutan bait lirik lagunya yang mantap dengan alunan muzik yang ‘fresh’ dengan arus semasa tentunya membuatkan pendengar akan turut serta mengikut rentak lagu berkenaan.

Bersempena hari pelancaran lagu berkenaan, suasana majlis kelihatan meriah ditambah pula gimik dari Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pelancaran itu turut diraikan Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Lagu ‘Yes Sir’ terbitan COF Music menampilkan gandingan penyanyi utama, Zamani dengan penyanyi rap, Ariff Peter yang juga merupakan penulis lirik bersama Pown Hasril, Otromen dan Nass.

Ariff turut menyatakan keterujaannya kerana dapat menjadi sebahagian dalam penghasilan projek lagu OST filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’.

“Saya sendiri rasa bersyukur sangat kerana dapat bekerjasama dengan Abang Zamani kerana beliau sendiri merupakan salah seorang lagenda dalam industri musik tanah air.

“Jadi, bagi saya sebagai pendatang baharu dalam industri ini, lagu yang saya tulis sendiri dinyanyikan oleh beliau, saya merasakan bila lagi saya boleh mendapat peluang seperti ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada COF Music kerana memberikan saya peluang dan ruang untuk melakukan kerja-kerja seni bersama dengan mereka sehingga dapat menjadi OST filem untuk ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’,” ujarnya dalam sidang media pelancaran itu.

Tambahnya lagi, diharapkan lagu ‘Yes Sir’ menjadi fenomena muzik dalam industri tanah air di samping filem Coast Guard yang memaparkan kisah hidup Maritim Malaysia menerima sambutan baik dalam kalangan masyarakat.

Zamani dan Ariff Peter ketika mempersembahkan lagu ‘Yes Sir’.

Terdahulu, Zamani bersama Ariff mempersembahkan lagu ‘Yes Sir’ itu dengan gimik menakjubkan menerusi kerjasama APMM sempena pelancaran lagu berkenaan.

‘Yes Sir’ merupakan lagu OST yang diinspirasikan khusus berdasarkan filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ yang memaparkan kisah Pegawai STAR Team dari APMM yang terpaksa berhadapan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarga tunangnya menjadi tebusan.

Untuk rekod, filem tersebut mendapat kerjasama penuh daripada KDN, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta APMM.

Kerjasama bagi filem yang mengangkat operasi ‘Ops Helang’ pasukan APMM itu adalah bagi memastikan masyarakat dapat melihat sendiri realiti bagaimana APMM sebagai badan ‘coast guard’ negara yang menjalankan tanggungjawab memelihara keselamatan dan keamanan Zon Maritim Malaysia.

Filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production ini juga mendapat kerjasama serta edaran Metrowealth Pictures yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei pada 2 Februari 2023.

Gimik pelancaran oleh pelakon Saharul Ridzwan dan Julia Farhana bersama STAR Team APMM.
Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Author

Pilihan Editor