CYBERJAYA: Permintaan pasangan Malaysia untuk bernikah di Thailand bagi tahun 2022 meningkat dua kali ganda.
Seorang ejen nikah sempadan mahu dikenali Kamal, 50, berkata, jumlah berkenaan melonjak susulan pembukaan semula sempadan negara selepas ditutup selama hampir dua tahun kerana pandemik COVID-19.
Menurutnya, jika sebelum ini mereka menerima 15 hingga 20 pasangan sebulan yang mahu menggunakan perkhidmatan, namun jumlah itu melonjak kepada 30 ke 40 pasangan.
“Disebabkan dua tahun sempadan tidak dibuka, jadi banyak urusan pasangan yang mahu melangsungkan pernikahan di selatan Thailand tertangguh.
“Ini antara faktor peningkatan berlaku secara mendadak. Begitupun kita terpaksa mengehadkan pasangan untuk dibawa bagi memudahkan proses urusan agar berjalan lancar,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Kamal yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam perkhidmatan itu menyatakan di Songkhla sahaja lebih 20 pasangan dari Malaysia bernikah setiap hari.
Malah, peningkatan jumlah pasangan lebih meningkat menjelang musim cuti persekolahan.
“Setakat ini, Songkhla, Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Bangkok antara lokasi yang diiktiraf dan diterima oleh kedua-dua negara bagi urusan pernikahan sempadan.
“Paling kerap adalah di Songkhla kerana kedudukannya dekat dengan konsulat dan memudahkan pasangan mendapatkan pengesahan pernikahan,” katanya.
Tambah Kamal, kebanyakan pasangan yang membuat keputusan untuk bernikah di Thailand itu sanggup berhabis RM2,000 ke RM10,000 bagi mendapatkan perkhidmatan pakej yang ditawarkan.
“Bayaran ini termasuklah bagi urusan keluar masuk sempadan, urusan nikah, bayaran imam dan jurunikah bertauliah serta segala dokumen berkaitan nikah,” ujarnya.