BANGI: Rawatan eksklusif yang dilakukan di rumah pesakit sebenarnya lebih mengalakkan proses pemulihan berbanding pesakit itu dirawat di hospital.
Ini kerana persekitaran di rumah yang lebih bersih daripada virus, lebih dekat dengan ahli keluarga, lebih banyak kasih sayang antara pemangkin kesihatan berbanding hospital yang terdedah pelbagai virus.

Demikian pengalaman yang dikongsi oleh jururawat peribadi dari Mixigo Sdn Bhd, Norizatul Mazlan, 31, apabila ditanya apa beza rawatan di rumah dan hospital.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada jenis prosedur yang boleh dilakukan di rumah seperti memasang tiub makan, minum, cuci luka dan rawatan asas yang lain.
“Beban tugas juga berbeza iaitu jika di hospital seorang jururawat perlu jaga lapan hingga 10 pesakit, berbanding di rumah fokus kepada seorang sahaja pesakit.
“Dengan kurangnya beban tugas secara tidak langsung kurang tekanan dan ia baik untuk kesihatan mental jururawat itu sendiri.
“Lebih indah, wujud satu hubungan atau ‘bonding’ antara jururawat, pesakit di mana jururawat juga berperanan seperti kaunselor perubatan mendengar luahan dan cerita pesakit, semua ini turut membantu proses pemulihan,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Townhall dan Menandatangani Persefahaman Bersama antara syarikat perkhidmatan jururawat peribadi, Mixigo Sdn Bhd dan Physiogo di Bangi Golf Resort, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Mixigo Sdn Bhd, Mohd Taufik Jamain.
Berbekalkan pengalaman dua tahun di pusat perubatan Subang Jaya Medical Centre, empat tahun bertugas di Arab Saudi, Norizatul kini bersama Mixigo berkongsi ilmu penjagaan hospital.
“Selepas pulang ke Malaysia dari Arab, saya bertemu Encik Taufik dengan idea membekalkan jururawat peribadi.
“Saya salurkan maklumat bagaimana jaga pesakit, pengurusan klinik dan lain-lain.
“Pada pendapat saya, kemahiran kejururawatan ini adalah paling mahal dan tidak ternilai.
“Tidak semua orang boleh masukkan tiub makan minum, jaga cuci luka, semua ini kena praktik dan belajar, ” katanya.
Orang ramai yang mahu dapatkan khidmat jururawat peribadi boleh layari www.mixigo.biz.