HomeHiburanSatu pun dah pening, kalau tambah botak kepala - Aeril Zafrel

Satu pun dah pening, kalau tambah botak kepala – Aeril Zafrel

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini, pelakon Aeril Zafrel dikatakan enggan mengulas isu poligami yang sedang hangat dibincangkan netizen, di Tiktok, dipercayai takut dimarahi isterinya, Wawa Zainal.

Baru-baru ini, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, mendedahkan enggan ‘menambah’ isteri kerana tidak mahu mengundang masalah yang memeningkan kepala.

Aeril menjelaskan kenyataan itu di sebelah isterinya sendiri ketika disoal mengenai isu sama, yang masih hangat dibincangkan netizen pada satu sidang media khas pelancaran produk Wawa Cosmetics.

“Saya sebenarnya tak nak pening. Sebenarnya, kalau kita ada orang lain, bertambah pening. Ada satu pun dah pening.

“Saya ni jenis lelaki yang bukan tak ambil kisah tapi banyak lagi benda yang nak difikirkan. Dengan anak-anak lagi,” katanya.

Melihat isteri pertama bekas pemain bola negara, Datuk Zainal Abidin Hassan bergaduh dan pukul memukul dengan madunya di sebuah restoran baru-baru ini, memberi pengajaran yang banyak buat mereka yang hendak bermadu.

Kejadian itu dikatakan isteri pertama hanya mengetahui perkahwinan itu menerusi media sosial sama seperti yang dilalui Puteri Sarah Liyana.

Pelakon drama Duda Terlajak Laris itu juga tidak mahu isu itu menjadikan dirinya tidak terurus sehingga boleh botak kepala.

“Ada kucing lagi. Kalau tambah bini, ‘confirm’ sakit kepala. Rambut dah baik-baik lebat sekarang, nanti botak pula,” katanya.

Terdahulu, pasangan pelakon dan usahawan terkenal itu hadir pada Majlis Pelancaran minyak wangi saiz baharu, Asmaradana ‘Lagenda Kembali di Rumah Tangsi, di sini.

Bagi menghargai kesetiaan pelanggan, Wawa Cosmetics melancarkan wangian Wawa X Rozyana, Asmaradana – Lagenda Kembali dengan keluaran versi saiz botol lebih besar.

Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin dilaporkan turut mengulas isu sama dengan amaran kepada wanita di luar sana supaya tidak menggatal dengan suami orang.

“Perempuan di luar sana jangan la merenyam (menggatal) dengan suami orang,” kata pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap itu.

Untuk rekod, Aeril dan Wawa berkahwin pada 2013 dan dikurniakan empat anak iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 10; Hayla Maghfiratul Adzikyaa, 7; Ayya Sofia, 4; dan Muhammad Fahri, 2.

Author

Pilihan Editor