KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang wanita yang kerap kali melarikan diri daripada membayar tol akhirnya tumpas di tangan pihak berkuasa apabila ditahan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), pada Isnin.
Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) berkata, wanita tersebut didapati berjaya melepaskan diri daripada membayar tol sebanyak 45 kali hingga mengakibatkan tunggakan sebanyak RM275.65.
“Dah 2023 perangai masih tak berubah. Lagi pengguna culas bayar tol ditahan.
“45 kali terlepas bayar tol, jumlah tunggakan RM275.65 telah dilangsaikan serta-merta,” tulis Prolintas menerusi ciapan di Twitter.
Dalam ciapan sama, turut dimuat naik gambar seorang wanita yang memandu kenderaan jenis Mercedes-Benz A-class ditahan pihak Prolintas.
Susulan itu, Prolintas turut mengingatkan orang awam supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral itu.
“Jadikan ini iktibar ya, jangan tiru aksi tak bermoral ni, anda bukan saja menceroboh, perbuatan ini juga membahayakan kenderaan lain,” tulisnya.
#AKLEH • 𝐊𝐄𝐑𝐄𝐓𝐀 𝐌𝐄𝗪𝐀𝐇 𝟒𝟓 𝐊𝐀𝐋𝐈 𝐂𝐔𝐋𝐀𝐒 𝐓𝐎𝐋, 𝐃𝐈𝐓𝐀𝐇𝐀𝐍 ! Dah 2023 perangai masih tak berubah. Lagi pengguna culas bayar tol ditahan.
— PROLINTAS AKLEH (@AKLEHtrafik) January 9, 2023