SLIM RIVER: Seramai 50 penduduk terdiri daripada 20 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) rentetan kawasan perumahan mereka di Taman Slim Permai, di sini, ditenggelami banjir, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian banjir itu kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi sebelum membantu memindahkan mangsa banjir terbabit ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River dengan menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda.
“Ada juga mangsa banjir yang berpindah sendiri ke kawasan selamat selepas menyedari kawasan perumahan itu mula dinaiki air.
“Operasi tamat jam 3.07 pagi tadi,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Tegasnya, pihak bomba akan terus membuat pemantauan secara berkala di kawasan berkenaan.