HomePendidikanBengkel Komunikasi Kelestarian: PPK USM mahu pelajar Malaysia, Thailand peka isu kelestarian

Bengkel Komunikasi Kelestarian: PPK USM mahu pelajar Malaysia, Thailand peka isu kelestarian

GEORGETOWN: Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mengadakan bengkel ‘International Academic Workshop on Sustainability Communication’ bagi memberi pendedahan berhubung ilmu Komunikasi Kelestarian.

Bengkel yang dijalankan dengan kerjasama Faculty of Communication Arts, Chulalongkorn University (Chula), Thailand itu melibatkan seramai 40 orang peserta terdiri daripada pensyarah, pelajar dan staf pentadbiran dari dua buah negara.

Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPK USM, Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh berkata, menerusi bengkel tersebut, para pelajar yang berbeza latar belakang dapat bertukar perspektif serta pengalaman berhubung isu kelestarian.

“Pasca Pandemik COVID-19 telah membolehkan pelajar dan pensyarah dari Malaysia dan Thailand berkumpul dalam satu bengkel berbentuk fizikal sebegini yang jelas amat bermanfaat untuk pendidikan berkenaan Komunikasi Kelestarian yang selari dengan matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030,” katanya.

Dr Saifudin (kiri) ketika sesi penyerahan sijil penghargaan kepada penceramah jemputan, Assoc. Profesor Dr Smith Boonchutima.

Dalam pada itu, pensyarah dari Faculty of Communication Arts, Chula, Assistant Prof. Dr. Teerada Chongkolrattanaporn turut gembira dan teruja menyertai bengkel berkenaan.

Menurutnya, bengkel ‘International Academic Workshop on Sustainability Communication’ itu merupakan platform terbaik untuk pelajar menimba pengetahuan tentang Komunikasi Kelestarian.

“Saya berharap kerjasama yang baik antara PPK USM dan Faculty of Communication Arts, Chula akan terus berlangsung dengan baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik berlangsung sepanjang bengkel seperti sesi perkongsian oleh tiga panel dari Malaysia dan Thailand, sesi perbincangan dalam kumpulan, lawatan sekitar kampus dan Pusat Kajian Kelestarian Global USM untuk pencarian maklumat bagi tugasan berkumpulan dan pembentangan pelajar mengenai idea pelaksanaan kempen berkenaan penggunaan plastik sekali guna kepada masyarakat.

Untuk makluman, USM adalah universiti lestari nombor satu di Malaysia dan tersenarai di kedudukan keempat di dunia dalam Times Higher Education (THE-GIR) 2022 Global Sustainability Rankings.

Author

Pilihan Editor