HomeNiagaBPreneur Bateriku.com sasar perniagaan baharu bateri terpakai harga 'Rahmah'

BPreneur Bateriku.com sasar perniagaan baharu bateri terpakai harga ‘Rahmah’

KUALA LUMPUR: BPreneur atau usahawan Bateriku.com, Shahrul Nizam Ishak merancang meluaskan perniagaan penjualan bateri terpakai di kawasan luar bandar sebagai memenuhi keperluan golongan B40.

Usaha itu tercetus selepas berjaya dalam memasarkan produk Bateriku.com sejak 2019 dan melonjak jualannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Four Qul Synergy Group of Companies berkata, selepas melihat perkembangan perniagaan yang semakin memberangsangkan, syarikatnya berhasrat untuk menjana keuntungan menerusi jualan bateri terpakai.

“Bateri terpakai mendapat permintaan yang mengalakkan di kawasan luar bandar dan peluang ini kita ambil.

“Ini kerana bateri baharu harganya lebih tinggi dalam RM300 ke atas sedangkan yang terpakai mungkin boleh dapat dalam RM50 ke atas atau dengan kata lain bajet Rahmah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau bersama rakan perniagaannya, Qusyairi Amri membuka cawangan pertama mereka, Bateriku.com Bandar Botanik, Klang.

Mereka kini telah memiliki empat rangkaian cawangan dengan membuka cawangan di Puncak Alam, Semenyih, dan Teluk Panglima Garang dalam tempoh kurang dari dua tahun usia perniagaan.

Sharul dan Qusyairi merupakan bekas pengurus bank swasta sebelum kedua-duanya mempertaruhkan nasib mereka dalam bidang penjualan bateri kenderaan.

Pertaruhan mereka membawa hasil apabila berjaya mencatat rekod jualan purata 1,000 bateri sebulan daripada empat cawangan mereka.

Tambah Shahrul, mereka turut berkongsi rezeki dengan rakyat dengan melakukan program CSR iaitu memberi bateri percuma kepada golongan sasar.

“Jika beri minyak petrol biasanya orang mudah lupa tetapi jika hadiahkan bateri, ia lebih ‘tersemat’ di hati penerima,” katanya.

Bateriku.com dimiliki usahawan Bumiputera, Azarol Faizi, yang juga adalah usahawan PUNB, yang sebelum ini menjalankan perniagaan secara konvensional.

Namun corak perniagaannya berubah ke platform digital sepenuhnya melalui pembangunan aplikasi mudah alih Bateriku.com.

Hari ini Bateriku.com berjaya melahirkan hampir 100 usahawan Bumiputera dan memiliki rangkaian outlet Pitstop sebanyak hampir 150 outlet di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Author

Pilihan Editor