HomeBeritaBuka kedai tak kena tempat, penjaja di KL kena kompaun

Buka kedai tak kena tempat, penjaja di KL kena kompaun

 

CYBERJAYA: Meskipun berniat untuk mencari rezeki untuk menyara keluarga, namun itu bukanlah tanda bahawa seseorang peniaga itu mengabaikan undang-undang di negara ini.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan mengeluarkan kompaun terhadap sebilangan penjaja yang berniaga di jalanan sekitar Jalan Ampang.

Malah, kesemua penjaja itu turut diminta mengalihkan kerusi, meja dan gerai mereka dari lokasi.

Tindakan itu berikutan DBKL mendapati golongan penjaja berkenaan mengabaikan keselamatan para pelanggan dengan beroperasi di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Letak kerusi meja di tepi jalan yang sibuk, tak terfikir ke kalau berlaku kejadian tak diingini, seperti kereta terbabas dan sebagainya. Minta dijauhkan la kejadian macam tu.

“Itu belum lagi kita sentuh keluhan pengguna jalanraya mengenai kesesakan yang berlaku disebabkan penjaja menjalankan perniagaan di lokasi yang tak sesuai,” tulis DBKL di Facebook hari ini.

Pada masa sama, DBKL memahami akan kesusahan yang dialami warga kota sehingga ada yang tanpa mengira soal keselamatan menjaja sedemikian.

“DBKL faham keperluan sebahagian dari wargakota dalam tempoh pasca Covid ni yang nak mencari rezeki melalui aktiviti penjajaan.

“Buktinya lebih 800 lesen dikeluarkan di bawah inisiatif Wilayah Bebas Berniaga. Urusan permohonan lesen dipermudahkan dan kadar bayaran lesen pun sangat rendah.

“Tetapi, itu tak bermakna boleh pacak gerai sesuka hati, lesen pun ada yang tak mohon,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor