SHAH ALAM: Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama negeri mengeluarkan pekeliling di semua masjid berhubung isu gelaran ustaz, ustazah dan kelayakan tauliah.
Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus berkata sekurang-kurangnya tindakan sedemikian dapat memberi penjelasan tepat kepada masyarakat hari ini khususnya termasuk bukan Islam yang turut keliru dengan gelaran yang dilihat tidak seiring dengan tingkah laku dan perwatakan.
“Sampai masa dah untuk pihak autoriti mungkin boleh memberi pencerahan tentang peraturan, siapa yang layak ditauliah, dipanggil ustaz dan ustazah.
“Sekurang-kurangnya dalam satu arahan macam ada hitam putih seperti surat pekeliling yang diarahkan pihak agama negeri kepada pihak berkuasa negeri,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Mohd Noor Aizan berkata, gelaran ustaz ustazah yang pernah disanjung tinggi satu ketika dahulu, kini menjadi persepsi buruk kepada orang bukan Islam juga.
“Isu ini sebenarnya terpalit sehingga kepada orang bukan Islam, mereka sampai bertanya ini macam kah (ustaz tidak seiring kelakuan),” katanya.
Beliau juga menjelaskan, orang Melayu juga mudah sangat untuk memberi gelaran kepada individu yang dilihat berperwatakan jubah berkopiah, songkok, bertudung labuh tanpa mengetahui dan menyiasat status pendidikan agama layak atau tidak.
“Kadangkala, ada yang menamakan dirinya sendiri dengan panggilan ustaz walaupun tidak cukup kelayakan bidang agama.
“Ia berbalik kepada orang awam sendiri, mudah memberi gelaran ustaz dan ustazah,” katanya.
Beliau turut mendakwa, disebabkan program realiti TV menyebabkan ramai berebut untuk bergelar ustaz dan ustazah, dipercayai untuk mudah mendapat perhatian dan keuntungan sehingga wujud stigma ‘penunggang agama’.
“Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, ramai dikatakan berebut jadi orang agamawan, sebab boleh jadi ‘glamour’ dan wang mudah sedangkan masih ada yang ikhlas berdakwah, memberi pelajaran dan didikan agama di luar sana, yang turut terpalit,” katanya.
MEDIA VARIASI sebelum ini pernah mengeluarkan pendapat peribadi mengenai isu gelaran ustaz dan ustazah jadi tiket sebar doktrin palsu.
Anehnya, gelaran itu begitu ‘murah’ dan mudah ‘lekat’ pada pandangan masyarakat sehingga tiada siapa mempersoalkan maksud sebenar dan intipati penyampaian yang dilontarkan golongan ini.
Untuk rekod, ustaz adalah perkataan bahasa Arab yang mempunyai maksud di dalam bahasa Melayu iaitu tuan atau guru.
Seperti yang diketahui, jika di sekolah kebangsaan, guru itu dipanggil cikgu dan jika di sekolah agama ia dipanggil ustaz bagi lelaki dan ustazah bagi perempuan.
Tokoh besar dunia pun takut untuk memanggil diri mereka ulama.
Di Malaysia sahaja, dengan mudah istilah ini digunakan.
Gelaran ini sebenarnya diberi berpunca dari orang ramai pantang tengok orang pandai merawat menggunakan ayat al-Quran, pandai bercakap, berceramah, berdakwah sikit, terus dipanggil ustaz, ustazah daie, PU dan sebagainya.