MANILA: Seorang warga Jerman berusia 42 tahun yang melarikan diri selama hampir sedekad ditahan di Filipina atas tuduhan membunuh sepupunya di Berlin dengan pedang samurai, lapor Agensi Akhbar Jerman dpa.
Lelaki itu ditahan pada 31 Januari di rumahnya di perbandaran Tuba, kira-kira 200 kilometer di utara Manila, menurut Pesuruhjaya Imigresen Norman Tansingco.
Warga Jerman itu berada di Filipina sejak Julai 2014 ketika waran tangkap terhadapnya dikeluarkan oleh mahkamah daerah Jerman.
Dia didakwa membunuh sepupunya dengan memotong badan mangsa menggunakan pedang samurai dan mencuri barang berharga sebelum melarikan diri.
“Pihak berkuasa Jerman kemudiannya memperoleh maklumat bahawa dia telah melarikan diri ke Filipina.
“Rekod menunjukkan dia tiba di negara ini pada 12 Julai 2014 dan tidak pulang sejak itu,” ketua unit pencarian buruan kata Rendel Ryan Sy.
Suspek akan dihantar pulang ke Jerman dan dilarang memasuki semula ke Filipina, kata Tansingco. – BERNAMA